Malas cerita panjang, nanti aku hantar nombor akaun – Rakan Ija

11 hours ago 7

PETALING JAYA – “Duit minyak, tol, kesan gigitan nyamuk, asam pedas tetel sepinggan nanti kau dah bebas, aku hantar nombor akaun. Doa semua tak perlu ‘refund’, aku ikhlas”.

Itulah luahan kesal seorang rakan kepada Tengku Nizaruddin Tengku Tengku Zainudin, 38, yang kononnya hilang tetapi sebenarnya melarikan diri ke Thailand.

Menurut Qaqal Jeffry yang juga seorang pempengaruh pemotoran, dia mengakui kecewa apabila ditipu sahabatnya, Tengku Nizaruddin atau Ija yang telah dikenali lebih sedekad lamanya.

Katanya, dia merasa lebih kecewa apabila sempat berbual bertanya khabar dengan ahli keluarga Ija ketika bertemu di lokasi kejadian sebelum mengetahui ianya hanya lakonan semata-mata.

“Aku ni fikirkan, kawan lama. Lebih sedekad. Betapa risaunya kita, sebab kenal isteri, kenal anak, punya lah merintih doa dalam hati mintak dijauhkan dari segala bala bencana.

“Tengah kerja, dapat panggilan, berdesup mula kereta terus ke lokasi kejadian. Mana taknya, kena pula kawasan kampung kita sendiri.

“Yang aku kecewa, punya lah panjang lebar aku berbual dengan adik kandungnya, tanya khabar, ambil berat, rupanya lakonan semata-mata,” tulisnya di Facebook.

Katanya, sepanjang tiga hari pencarian, dia bersama rakan-rakan serta anggota penyelamat membantu di lokasi dengan menarik kereta Ija keluar dari sungai.

Luahnya lagi, atas apa jua pun alasan, Ija tidak sepatutnya menipu dengan mengada-adakan cerita kerana ramai rakan serta pihak terlibat dalam operasi pencarian.

“Bayangkan berapa ramai pihak yang terlibat, tak termasuk perasaan ahli keluarga terdekat. Mungkin kau ada sebab tersendiri, tapi niat tak menghalalkan cara.

“Jadikan pengajaran kepada diri sendiri, sangat kesian bro, kalaulah kau boleh tengok semua muka yang membantu kat lokasi,” katanya.

Qaqal juga meminta Ija sedar dan bertaubat atas apa yang berlaku selain meminta sahabatnya itu memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat.

“Andai kau terbaca hantaran ni, tolong lah sedar dan bawa bertaubat. Nasi dah jadi bubur, perahu tak boleh undur. Ayuh ‘move forward’ dan lupakan je kes tah apa-apa ni,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Ija Nizaruddin yang didakwa hilang sejak Isnin lalu, tampil menyerah diri di Balai Polis Muar hari ini, selepas melarikan diri ke negara jiran.

Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, laporan kehilangan lelaki itu meragukan dan percaya ia telah direka untuk kepentingan peribadi.

Beliau berkata, polis telah membuka kertas siasatan berhubung laporan palsu, pemberian keterangan tidak benar serta bersubahat dalam insiden kehilangan individu yang disyaki direka untuk kepentingan peribadi.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |