PETALING JAYA – Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) mencipta kejayaan berganda apabila dinobatkan sebagai Syarikat Terbaik (Penjanaan Tenaga) di bawah kategori Anugerah Juara ESG, selain menerima Anugerah Kecemerlangan Berterusan sempena Anugerah Kelestarian & CSR Malaysia 2025.
Anugerah berprestij yang berlangsung pada 17 Julai 2025 di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur itu turut menyaksikan anak syarikat Malakoff, Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora), menerima pengiktirafan sebagai Syarikat Terbaik (Pengurusan Sisa) di bawah kategori Anugerah Kecemerlangan Ekologi serta turut merangkul Anugerah Kecemerlangan Berterusan.
Malakoff dalam kenyataan berkata, Anugerah Kelestarian & CSR Malaysia bertujuan menghargai syarikat yang menjadi agen perubahan dalam pembangunan sosioekonomi negara, selain memperjuangkan usaha kelestarian dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Menurut Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib, pengiktirafan diterima pihaknya mencerminkan kecekalan dan dedikasi berterusan warga Malakoff dan Alam Flora dalam menjayakan agenda kelestarian serta pemerkasaan komuniti.
“Kami amat berbesar hati menerima pengiktirafan ini yang bukan sahaja meraikan komitmen kami terhadap kelestarian dan pemerkasaan komuniti, malah turut mengiktiraf kecekalan dan dedikasi berterusan Malakoff dan Alam Flora melalui Anugerah Kecemerlangan Berterusan,” katanya.
Beliau turut berkongsi kejayaan program ‘Jom ke Sekolah’ yang dianjurkan di Mukim Serkat pada tahun 2024, dalam membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah memulakan sesi persekolahan dengan lebih yakin melalui penyediaan pakaian seragam dan kelengkapan asas.
Di pihak Alam Flora pula, Anwar Syahrin berkata. komitmen terhadap pemuliharaan alam sekitar dizahirkan melalui lebih 100 program kesedaran yang berjaya menjangkau lebih 2,300 individu serta kutipan 7,026.7 tan bahan kitar semula sepanjang tahun 2024.
“Kakitangan Alam Flora juga telah mencapai kadar kitar semula sebanyak 21.1 peratus melepasi sasaran dalaman kami bagi tahun 2025 iaitu antara 15 hingga 20 peratus dan melaksanakan inisiatif berimpak seperti Agihan Tong Sampah Bergerak, yang menyaksikan lebih 4,100 unit diedarkan di seluruh Kuala Lumpur serta Karnival Hari Kitar Semula Putrajaya.
“Pencapaian ini mencerminkan usaha kolektif warga kerja kami, rakan strategik dan pihak berkepentingan yang berkongsi keyakinan bahawa kejayaan sesebuah perniagaan perlu
sejajar dengan tanggungjawab sosial dan alam sekitar,” ujarnya.
Malakoff menambah, kejayaan ini diraikan bersempena ulang tahun ke-50 penubuhan Malakoff selama lima dekad membina ketahanan, pertumbuhan dan impak yang berpaksikan nilai. – KOSMO! ONLINE