COKLAT sering dijadikan sebagai sumber penting untuk mengatasi kesedihan kerana berupaya merangsang penghasilan serotonin dan endorfin iaitu hormon yang membuatkan kita rasa gembira dan tenang. Oleh itu, ramai yang berasa lega dan lebih tenang selepas makan coklat.
Coklat juga digemari ramai tidak mengira lapisan usia dan latar belakang lantas menjadikannya kudapan yang sangat popular. Terdapat pelbagai coklat yang dijual di pasaran dan harganya ditentukan dengan penggunaan bahan. Jika menggunakan bahan berkualiti tinggi, mewah dan jarang ditemui, maka harganya juga melonjak tinggi dan tidak masuk akal. Untuk itu, pada minggu ini CitaRasa kongsikan lima kudapan coklat yang termahal di dunia menurut laporan JagranJosh.
1- Coklat To’ak
DIPERBUAT daripada biji koko jarang ditemui iaitu varieti Nacional yang dianggap telah pupus oleh beberapa pakar, coklat To’ak terkenal dengan profil rasa yang kompleks. Coklat itu ‘menua’ dalam kotak kayu (diperam dalam kotak) serupa dengan wiski halus yang meningkatkan rasanya.
Untuk 50 gram (g) bar coklatnya dianggarkan sekitar AS$260 (RM1,100). Syarikat To’ak Chocolate dari Ecuador ini diasaskan pada 2013 oleh Jerry Toth, Carl Schweizer dan Denise Valencia. Ia menghasilkan coklatnya daripada pelbagai jenis biji koko Nacional yang jarang ditemui.
Bar coklat dihasilkan dengan buatan tangan dan pengeluarannya melibatkan penapaian biji koko. Bar coklat itu dibuat sepenuhnya daripada biji koko Nacional dengan sedikit tambahan gula tebu.
2- La Madeline au Truffle

SETERUSNYA, La Madeline au Truffle menampilkan coklat gelap ganache dengan kemewahan rasa truffle Perigord Perancis. Coklat berasal dari Amerika Syarikat (AS) ini menggunakan Truffle Perigord Perancis (cendawan yang jarang ditemui). Coklat artisan hasil tangan daripada Chocolatier Fritz Knipschildt dijual pada harga AS$250 (RM1,050) untuk sebiji coklat sekitar 50g. La Madeline au Truffle bermula dengan 70 peratus coklat gelap Valrhona, krim pekat, gula, minyak truffle dan vanila sebagai asas untuk ganache dekaden yang kaya. Kemudian disaluti dalam coklat gelap Valrhona dan ditabur serbuk koko halus.
3- Amedei Porcelana

SEPERTI coklat To’ak, coklat jenama Amedei Porcelana juga menggunakan biji coklat yang jarang ditemui dari Venezuela.
Ia telah menerima banyak pujian untuk keenakan rasanya. Oleh itu, tidak hairanlah harganya sangat mahal iaitu dianggarkan AS$90 (RM380) untuk 50g bar coklat.
Bar coklat gelap ini dibuat oleh pembuat coklat mewah Amedei di Tuscany, Itali. Ia telah memenangi pelbagai anugerah daripada Academy of Chocolate termasuk Best Bean to Bar, Best Dark Chocolate Bar dan Golden Bean Award.
4- Coklat Feve

DI kedudukan keempat adalah coklat dari jenama Feve yang memfokuskan pada koko tunggal dan menawarkan bar koko 100 peratus yang menyerlahkan rasa tulen biji koko tanpa sebarang gula tambahan.
Ditubuhkan di San Francisco, Amerika Syarikat pada 2007, Feve bermula secara sederhana dengan pinjaman mikro untuk periuk karamel pertamanya. Kini, jenama itu semakin berkembang dengan pelbagai produk coklatnya dan dipasarkan ke hotel, restoran dan kedai runcit di AS. Bagi bar coklat 100 peratus koko dijual sekitar AS$100 (RM420) untuk 70g.
5- Scharffen Berger

KELIMA ialah bar coklat gelap Scharffen Berger diraikan kerana rasa yang kaya dan tekstur yang ‘halus’. Ia terkenal dengan penggunaan bahan-bahan berkualiti tinggi dan kaedah pengeluaran artisanal. Untuk satu bar coklat seberat 85g dijual pada harga AS$30 (RM125). Scharffen Berger ialah sebuah syarikat pembuatan coklat AS yang merupakan anak syarikat The Hershey Company selepas diperoleh pada tahun 2005. Awalnya, Scharffen Berger ditubuhkan sebagai pembuat coklat bebas yang berpangkalan di Berkeley, California pada tahun 1996 oleh pembuat wain John Scharffenberger dan Doktor Robert Steinberg.

2 hours ago
1









![[VIDEO] PDRM setaraf negara maju boleh jejak ‘ds account’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/media-sosial-gambar-hiasan.jpeg)







































