Lima buah termahal di dunia

9 hours ago 5

SETIAP buah mempunyai keunikan rasa tersendiri dan harga biasanya ditentukan oleh beberapa faktor seperti keenakannya, jumlah pengeluaran, musim, pemantauan rapi, kaedah tanaman unik dan menepati standard yang ditetapkan.

Mungkin tidak ramai tahu, kebanyakan buah mewah ditanam di Jepun disebabkan amalan masyarakat di negara itu yang menjadikan buah sebagai hadiah istimewa pada majlis-majlis khas untuk orang tersayang. Jepun juga sering meraikan keunikan setiap empat musim lengkap dengan perayaan, acara, makanan dan tradisi khusus. Dengan menikmati rasa, bau dan juga bentuk buah-buahan, penerima dapat menghargai musim dengan cara yang unik.

Oleh itu, tidak hairanlah mereka sanggup membeli buah pada harga tidak masuk akal. Buah durian merupakan antara yang termahal di dunia, namun berada di kedudukan ke-10 berdasarkan perkongsian Boston Brand Research & Media.

Berikut CitaRasa kongsikan lima buah termahal dunia yang didominasi Jepun sebagaimana dikongsikan portal tersebut.

1. Yubari King Melon

BERASAL dari Yubari, Hokkaido di Jepun, Yubari King Melon terkenal dengan kemanisan yang sempurna dan penanaman yang teliti menjadikan buah ini berada di carta pertama buah termahal di dunia.
Tembikai ini ditanam dalam persekitaran yang terkawal dan ‘dimanjakan’ untuk mencapai penampilan dan rasa yang sempurna.
Pada Mei 2023, dua biji premium tembikai melon ini dijual pada harga 3.5 juta yen (sekitar AS$25,000 atau bersamaan RM105,700)
Harga yang tinggi itu disebabkan oleh pengeluaran dan status terhad buah tersebut sebagai hadiah mewah dalam budaya Jepun.

2. Anggur Ruby Roman

DI tangga kedua buah termahal di dunia ialah Anggur Ruby Roman yang ditanam di Wilayah Ishikawa, Jepun. Buah ini terkenal kerana saiz yang besar, kemanisan dan keasidan yang rendah.
Setiap anggur mesti memenuhi piawaian yang ketat termasuk berat minimum 20 gram (g). Pada Julai 2023, untuk segugus anggur itu dijual pada harga 1.2 juta yen (kira-kira AS$8,400 atau bersamaan RM35,500).
Proses pemilihan yang ketat dan ketersediaan terhad menyumbang kepada harga premium buah ini.

3. Tembikai Densuke

SETERUSNYA, buah tembikai Densuke yang terkenal dengan warna kulit hitam yang tersendiri dan rasa manis yang luar biasa turut tersenarai sebagai buah termahal di dunia.
Dengan jumlah pengeluaran yang terhad iaitu dianggarkan sekitar 10,000 biji setahun membuatkan nilainya melonjak tinggi.
Ditanam di Hokkaido, Jepun, buah ini boleh mencapai berat 11 kilogram. Pada 2019, tembikai Densuke dijual pada harga 750,000 yen (kira-kira AS$6,000 atau bersamaan RM25,400) sebiji. Rupa yang unik dan bekalan yang terhad menjadikan buah ini sangat dicari.

4. Taiyo No Tamago Mangoes

DITERJEMAHKAN sebagai ‘telur matahari’, Taiyono Tamago Mangoes yang berasal dari Wilayah Miyazaki, Jepun ini sangat bernilai tinggi kerana isinya yang berjus dan kaya dengan rasa.
Setiap mangga mesti mempunyai berat sekurang-kurangnya 350g dan mempamerkan kandungan gula yang tinggi. Pada tahun 2022, dua biji mangga ini dijual pada harga 600,000 yen (AS$4,500 atau bersamaan RM19,000)
Penanaman yang teliti dan piawaian kualiti yang ketat mewajarkan harganya yang tinggi.

5. Nanas Heligan

Nanas dari Lost Gardens of Heligan, England ini tersenarai sebagai buah kelima termahal di dunia. Penanamannya menggunakan teknik tradisional Victoria di Cornwall iaitu ditanam dalam lubang yang dipanaskan baja, kaedah intensif buruh yang menghasilkan pengeluaran tahunan terhad.
Buah ini jarang dijual sehingga harganya mencecah AS$1,000 (RM4,200) sebiji. Sekali gus menjadikannya sebagai buah mewah.
Untuk mengetahui lanjut mengenai nanas mewah ini, ladang itu turut membangunkan laman web khusus diberi nama The Lost Gardens of Heligan bagi menceritakan mengenai sejarah, teknik penanaman dan latar belakang buah tersebut.

Read Entire Article
Pertanian | | | |