KRW tak ‘salin kulit, nafi dakwaan FIFA

6 hours ago 3

KELAB Bola Sepak Kelantan Red Warriors (KRW FC) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengatakan pasukan itu masih mempunyai kaitan dengan Kelantan FC yang kini sudah hilang daripada radar Liga Malaysia (Liga-M).

Presidennya, Nik Hafiz Naim Nik Hassan menegaskan, KRW FC adalah entiti berbeza daripada Kelantan FC yang sehingga kini masih lagi berada dalam pemilikan Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham.

Menurutnya, salinan surat tunjuk sebab bertarikh 23 Julai daripada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang dihantar melalui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung perkara tersebut sudah diterima pada 24 Julai lalu.

“Kami menafikan sekeras-kerasnya dan akan menghantar maklum balas kepada FIFA bagi mencabar serta menyatakan tidak setuju dengan dakwaan badan induk bola sepak dunia itu. KRW FC dan Kelantan FC merupakan dua entiti berbeza, bukan kelab sama.

“Kelantan FC masih menjadi milik Zamsaham sehingga ke hari ini dan jika mendapat lesen, mereka juga boleh bersaing dalam Liga A1 Semi Pro,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan FIFA telah menghantar surat tunjuk sebab rasmi yang mana salinannya sudah dimajukan kepada KRW FC pada Jumaat lalu.

Menurutnya, KRW yang akan bersaing dalam kempen Liga Super musim ini diberikan masa sehingga hari ini untuk memberikan maklum balas.

“Sekarang FIFA sudah kesan (sesuatu yang mencurigakan) dan mungkin (KRW FC) ada sangkut paut dengan pasukan lama,” kata Noor Azman.

Menjawab dakwaan KRW FC hanya ‘menyalin kulit’ daripada Kelantan FC berikutan statusnya yang pernah terlibat dengan pengurusan skuad The Red Warriors itu, Nik Hafiz menjelaskan, beliau sudah tiada apa-apa kaitan dengan kelab milik Zamsaham            .

“Saya tidak memiliki apa-apa kepentingan dalam Kelantan FC. Jika adapun sangat minimum berikutan hanya memiliki lima peratus saham sebelum ini. Saya sudah bincang dengan peguam dan dimaklumkan walaupun memiliki 50 peratus saham, tidak menjadi kesalahan untuk saya buka kelab baharu.

“Saya sudah lepaskan semua jawatan dan kepentingan dalam Kelantan FC termasuk jawatan pengarah. Jadi tidak adil untuk mengaitkan status saya bersama TRW dahulu dengan KRW FC serta peranan saya dalam kelab ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |