Karnival KAWAN PTPTN semai budaya menabung

11 hours ago 6

PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini melancarkan Karnival Anak Warisan Simpan SSPN (KAWAN) 2025 di Kompleks Karamunsing, Sabah dalam usaha menyemai budaya menabung dan memupuk nilai murni dalam kalangan anak-anak sejak usia muda.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, disertai oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, serta Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Karnival berskala nasional ini berlangsung serentak di 14 negeri seluruh negara, membabitkan kerjasama strategik bersama Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri, agensi kerajaan dan swasta serta sekolah rendah di bawah Modul Kelab Simpanan Pendidikan (KSP).

“Anak-anak adalah pewaris masa depan negara. Melalui KAWAN, kita bukan sahaja galakkan mereka menabung, tetapi juga tanam nilai jati diri, keluarga harmoni dan budaya Madani yang berdaya tahan,” kata Ahmad Dasuki.

Karnival KAWAN turut dimeriahkan dengan pelbagai pertandingan bertemakan warisan dan seni budaya, antaranya Pertandingan Sajak, Syair dan Seloka, Action Song Simpan SSPN, dan Pertandingan Kebudayaan yang menjadi tarikan utama pengunjung.

Ahmad Dasuki menjelaskan kelebihan Simpan SSPN sebagai tabung pendidikan yang menawarkan pelbagai manfaat seperti pelepasan cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful, Geran Sepadan percuma sehingga RM10,000 dan kadar dividen kompetitif yang patuh syariah.

“Simpan SSPN bukan sekadar instrumen tabungan untuk masa depan anak, tetapi juga satu bentuk warisan kewangan keluarga yang dijamin kerajaan,” tambahnya.

Sebagai pengisian gaya hidup sihat, turut berlangsung Program Larian PTPTN dan Komuniti Sabah 2025 di Lintasan Deasoka yang melibatkan lebih 1,000 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk mahasiswa IPT, pelajar sekolah dan masyarakat setempat.

“Karnival ini menyatukan nilai ilmu, warisan dan amalan kewangan berhemah. Inilah bentuk pembinaan masyarakat yang lestari dan berpaksikan nilai,” katanya.

PTPTN dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited untuk terus memperluaskan kesedaran penabungan sebagai satu alternatif terbaik mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |