‘Kalau masih nampak wap bau buah-buahan, saya potong bilik air jadi separuh’

1 week ago 12

PETALING JAYA – “Kalau masih keluar kabus putih berbau buah-buahan, saya potong separuh tandas, sampai mencangkung pun nampak kepala,”

Itu antara peringatan tegas tetapi bersahaja daripada Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Tawar, Dr. Muhamad Khairul Anuar bin Hussin.

Menerusi hantaran di aplikasi Thread, amaran itu dikeluarkan ketika projek percubaan Open Toilet (Tandas Terbuka) sedang dijalankan di sekolah berkenaan.

Muhammad Khairul berkata langkah itu diambil selepas pihak sekolah mengesan ada pelajar yang menyalahgunakan tandas dengan menghisap rokok elektronik atau vape.

“Projek percubaan ‘Open Toilet’. Peringatan tegas sudah dikeluarkan. Kalau masih berdegil, tindakan lebih drastik akan diambil. ‘I walk my talk’,” katanya tegas.

Pengetua tersebut juga berkata, cubaan untuk meletak ‘fire alarm’ (penggera kebakaran) tidak berkesan apabila wap rokok elektrik sukar dikesan.

“Tak jadi letak ‘fire alarm’, wap vape tak sampai pada ‘detector’ (pengesan),” katanya.

Dalam hantaran tersebut turut dimuat naik gambar memaparkan keadaan tandas pelajar yang telah pun dipecah dan sedang dalam pembinaan.

Kelihatan bahagian tandas sekolah itu kini tampil lebih terbuka daripada kebiasaan tanpa pintu masuk seperti tandas biasa, membolehkan pandangan terus ke arah sinki.

Namun kelihatan setiap ruang tandas masih dikekalkan dengan pintu masing-masing bagi menjaga privasi pengguna.

Projek Open Toilet itu diperkenalkan bagi mendidik pelajar supaya lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan dan kemudahan awam, selain mengekang gejala tidak sihat dalam kalangan warga sekolah.

Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai yang memuji tindakan dan keberanian guru terbabit dalam memerangi kegiatan vape dalam kalangan pelajar sekolah.

“Saya sangat sokong, tindakan yang sangat berani dan bijak cikgu,” komen Munirah.

“Kalau begini barulah pelajar takut, kena tegas mengekang vape ni,” komen Mimi pula. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |