Kalau kita berbaik, kan lebih tenang – Dr. Afifah

3 hours ago 1

PETALING JAYA – “Kalau kita berbaik, kan lebih tenang.”

Demikian luah Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek berhubung kemelut rumah tangganya bersama penyanyi, Nubhan atau nama penuhnya Ahmad Nubhan Ahamad.

Dalam hantaran di laman Threads, Dr. Afifah berharap agar mereka berdua dapat menyelesaikan segala masalah dengan damai demi kebaikan anak-anak dan keluarga.
“Tak boleh ke kita selesaikan semuanya dengan baik, bahagiakah bila keadaan jadi macam ini? Kalau kita berbaik, kan lebih tenang… tak ada siapa perlu salahkan sesiapa.

“Tapi sekarang, terlalu banyak cerita yang keluar. Saya cuma nak semuanya selesai dengan cara yang baik,” katanya hari ini.

Dalam hantaran berbeza, Dr. Afifah turut mempersoalkan tindakan Nubhan selain meluahkan rasa kecewa terhadap apa yang berlaku.

“Beginikah caramu mahu sakiti saya? Saya ibu kepada anak-anak kita. Dulu, sayalah penyokong paling kuat, pengagum paling setia. Saya percaya pada kamu, saya jaga kamu sepenuh hati, dan saya beri yang terbaik.

“Walaupun mungkin tak sempurna, ini bukan cara yang sepatutnya ia berakhir. Anak-anak kita sedang membesar, tak lama lagi mereka akan faham. Tolong… mari kita pilih jalan yang tenang dan diam,” jelasnya.

Sebelum ini, penyanyi Nubhan memfailkan hadanah (hak penjagaan anak) terhadap tiga anaknya iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille, 3, hasil perkahwinan dengan isteri, Dr. Afifah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, pada September lalu.

Menurut peguam syarie yang mewakilinya, Mohd. Redzuan Ramli, Nubhan memfailkan dua tuntutan iaitu hadanah kekal dan interim.

Terdahulu, selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga, Nubhan mengejutkan ramai apabila didakwa sudah menceraikan isterinya selain memfailkan pengesahan lafaz talak.

Mahkamah Rendah Syariah Sepang menetapkan 2 Disember depan bagi tarikh sebutan kes pengesahan lafaz cerai yang difailkan penyanyi, Nubhan ke atas Dr. Afifah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |