Junta Myanmar umum letupkan 150 bangunan ‘scammer’ 

3 hours ago 3

NAYPYIDAW – Tentera Myanmar berkata hari ini bahawa mereka merobohkan hampir 150 bangunan dalam tindakan keras ke atas sebuah kompleks penipuan internet terkenal yang terletak berhampiran sempadan Thailand termasuk gimnasium, spa dan pusat karaoke.

Pusat-pusat penipuan (scammer) berkembang pesat di wilayah sempadan Myanmar yang dilanda perang dan ditadbir secara longgar. Pusat-pusat itu menempatkan pekerja yang menyasarkan pengguna internet dengan penipuan percintaan (love scam) dan perniagaan bernilai puluhan bilion dolar setiap tahun.

Ramai pekerja diperdagangkan ke pusat-pusat penipuan internet, tetapi ada yang bekerja secara sukarela. Kompleks-kompleks itu dilengkapi kemudahan mewah untuk bos-bos jenayah dan kakitangan berpendapatan tinggi mereka.

Bulan lalu, tentera Myanmar mengumumkan serbuan ke atas pusat penipuan terkenal, KK Park. Mereka menemui lebih daripada 2,000 penipu dengan kira-kira 1,500 orang melarikan diri ke Thailand.

Dalam kemas kini akhbar rasmi The Global New Light of Myanmar, junta berkata, pihaknya menemui 148 bangunan termasuk asrama, sebuah hospital empat tingkat dan kompleks karaoke dua tingkat.

“Sebanyak 101 bangunan telah dirobohkan, dan baki 47 bangunan sedang dalam proses dirobohkan,” kata akhbar itu.

AFP tidak dapat segera mengesahkan dakwaan itu tetapi penduduk tempatan di Myanmar dan di seberang sempadan di Thailand melaporkan mendengar letupan berselang-seli sejak serbuan tentera Myanmar bermula.

Pakar-pakar bagaimanapun berkata, serbuan junta mungkin terhad, diatur dan sengaja dihebahkan ketika tentera berusaha mengurangkan tekanan antarabangsa untuk menumpaskan pusat-pusat penipuan tanpa terlalu menjejaskan keuntungan.

Tindakan terlalu keras, kata mereka akan mengikis keuntungan yang memperkayakan militia projunta sebagai sekutu utama perang saudara yang telah melanda negara itu sejak kudeta 2021.

Pada Februari lalu, kempen pembanterasan yang diterajui menyaksikan kira-kira 7,000 pekerja penipuan dihantar pulang ke negara masing-masing. – AFP 

Read Entire Article
Pertanian | | | |