JPJ kutip RM6.2 juta dalam 14 hari

20 hours ago 5

BANGI – Sebanyak 34,371 saman berjaya diselesaikan dalam tempoh 14 hari membabitkan nilai RM6.2 juta, susulan amaran yang dikeluarkan kepada 28 syarikat oleh Kementerian Pengangkutan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, syarikat KDeB Waste Management (KDEBWM) Sdn. Bhd. mencatatkan jumlah tertinggi dengan bayaran RM3.1 juta melibatkan hampir 20,000 saman.

“Kita amat hargai kerjasama diberikan syarikat-syarikat yang tampil menyelesaikan saman mereka,” katanya padang sidang akhbar semasa program Hari Keluarga JPJ (HKJPJ) 2025 di Pusat Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Aedy berkata, kesemua syarikat yang dinamakan telah menghubungi JPJ untuk menyusun langkah penyelesaian saman masing-masing, dengan pihak JPJ turut membantu dari segi pengeluaran rekod terkini dan kaedah pembayaran.

Katanya, bagi saman jenis kompaun, JPJ masih memberi tempoh lanjutan kepada syarikat yang belum menyelesaikannya, namun tindakan senarai hitam telah dimulakan terhadap syarikat yang tidak memberi respons.

“Kita mula senarai hitam kenderaan bawah syarikat terbabit, dan ia akan menyekat urusan seperti pembaharuan cukai jalan sehingga mereka selesaikan saman,” jelasnya.

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai saman di bawah Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Awas) boleh menyelesaikannya dengan kadar rata RM150 sehingga 31 Disember 2025.

Katanya, tawaran ini diumumkan bermula 1 Julai lalu dan terpakai kepada semua rakyat Malaysia.

“Lanjutan tawaran itu bagi tiga kategori notis saman iaitu saman Awas bermula Oktober 2018 hingga kini, Notis 114 (notis temu siasat) dan Notis 115 (permintaan butir-butir pemandu) bermula 2023 dan ke bawah.

“Ia langkah meringankan beban rakyat untuk patuhi undang-undang,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan tempoh bayaran kompaun khas dengan kadar rata RM150 bagi tiga kategori kesalahan akan dilanjutkan sehingga 31 Disember depan.

Aedy Fadly berkata, hanya 442,870 saman telah dibayar dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding saman tertunggak yang mencecah lebih 2.02 juta. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |