TEL AVIV – Tentera Israel memintas kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza dan 19 aktivis, pada jarak 70 batu nautika dari destinasi yang dituju pada malam semalam, lapor saluran berita CNN.
“Pihak penjajah (Israel) menutup kamera kami dan semua komunikasi telah lumpuh,” kata jurucakap Gabungan Kebebasan Flotila (FFC) kepada CNN dalam satu mesej.
Penstriman langsung di platform YouTube memaparkan anggota-anggota bersenjata menaiki kapal Handala, manakala kumpulan aktivis berada di dek.
Mereka memakai jaket keselamatan dan mengangkat tangan ke udara sebagai tanda menyerah diri.
Salah seorang daripada anggota bersenjata yang bertopi keledar kelihatan memusingkan kamera di dek, menyebabkan siaran secara langsung berakhir tidak lama selepas itu.
Kementerian Luar Israel mengesahkan dalam satu kenyataan di plaform X bahawa tentera lautnya telah menghalang kapal Handala daripada memasuki zon maritim pantai Gaza.
“Kapal itu selamat dan menuju ke pantai Israel. Semua penumpang selamat,” kata kenyataan kementerian tersebut.
Laman berita The Times of Israel melaporkan, kapal itu akan ditunda ke Pelabuhan Ashdod, manakala semua aktivis akan dihantar pulang.
Handala yang dinamakan sempena watak kartun Palestin terkenal, adalah sebahagian daripada FFC. Ia beberapa kali mencuba untuk memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza melalui laut dan menyampaikan bantuan kepada penduduk Palestin di sana.
Kapal misi kemanusiaan itu membawa 19 aktivis, termasuk beberapa ahli politik Eropah dan dua wartawan saluran berita Al Jazeera.
Handala dilaporkan mengeluarkan panggilan kecemasan ketika pasukan tentera laut Israel menghampiri.
Kapal yang belayar dari Itali itu membawa susu formula bayi, makanan dan ubat, selaras dengan undang-undang maritim dan kemanusiaan antarabangsa. – AFP/AGENSI