PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan keselamatan awam akan terus dipelihara dan dalam masa yang sama hak-hak kebebasan rakyat akan tetap dihormati susulan penganjuran Perhimpunan ‘Turun Anwar’ pada esok.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, pihaknya percaya bahawa perimbangan antara hak demokrasi dan pemeliharaan undang-undang boleh dicapai melalui kerjasama yang erat dan rasa tanggungjawab bersama.
Beliau berkata, PDRM komited memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi memastikan perhimpunan ini dapat dilaksanakan dengan lancar, selamat dan menghormati ruang awam yang dikongsi bersama.
“Segala bentuk kerjasama daripada semua pihak amat dihargai agar suasana harmoni dapat dikekalkan sepanjang tempoh perhimpunan.
“PDRM turut menasihatkan para peserta agar sentiasa peka terhadap peruntukan undang-undang sedia ada, serta bersama-sama memelihara ketenteraman dan keselamatan di kawasan sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Khalid berkata, adalah menjadi harapan pihaknya agar setiap suara dizahirkan dapat disampaikan dalam suasana yang saling menghormati dan berlandaskan nilai kesopanan serta adab masyarakat Malaysia.
“PDRM amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dan menyeru agar semua pihak terus memainkan peranan secara berhemah dan matang.
“Marilah kita bersama-sama memastikan setiap ruang demokrasi yang terbuka ini dimanfaatkan secara positif, demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, bagi masyarakat umum yang mungkin tidak terlibat secara langsung dalam perhimpunan ini, mereka disarankan untuk merancang perjalanan lebih awal dengan menyemak maklumat trafik.
“Ini bagi mengelakkan sebarang kesulitan atau kelewatan, memandangkan aliran trafik dijangka mengalami sedikit perubahan sepanjang berlangsungnya perhimpunan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Himpunan Turun Anwar yang dianjurkan Perikatan Nasional (PN) dijangka berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 26 Julai ini. – KOSMO! ONLINE