MELAKA – Dua syarikat pengeluar produk kopi dan biskut di negeri ini diarahkan untuk menarik semula semua produk dari pasaran selepas dikesan mengggunakan berus diperbuat daripada bulu babi di kilang pembuatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) kedua-dua syarikat terbabit telah ditarik balik susulan ketidakpatuhan serius terhadap piawaian pensijilan.
“Selain penarikan SPHM kedua-dua syarikat turut diarahkan menghentikan penggunaan logo halal Malaysia serta menarik balik semua produk yang telah dikeluarkan di pasaran.
“Mereka juga perlu melaksanakan langkah penambahbaikan termasuk proses sertu mengikut hukum syarak dan garis panduan ditetapkan sebelum sebarang permohonan semula boleh dipertimbangkan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Tambahnya, tindakan itu penting bagi memastikan semua peralatan yang digunakan dalam rantaian pengeluaran benar-benar bebas daripada unsur haram atau syubhah yang menjadi prinsip asas dalam pensijilan halal.
“Perkara ini memerlukan tindakan lanjut memandangkan ia turut melibatkan implikasi pencemaran najis mughallazah, justeru pematuhan ketat perlu dilaksanakan sebelum kelulusan semula boleh diberikan.
“Tindakan ini selaras dengan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 (Pindaan) di bawah klausa ketidakakuran serius berkaitan syariah, khususnya melibatkan penggunaan peralatan tidak halal dalam rantaian pengeluaran,” katanya.
Jelasnya, tindakan tegas itu diambil selepas sampel berus yang digunakan di premis berkenaan telah disahkan mempunyai ciri-ciri fizikal bulu babi oleh Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC).
Semalam, portal rasmi di bawah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Halal Malaysia turut melaporkan dua buah syarikat beralamat di Melaka, Heng Loong Coffee Sdn. Bhd. dan Tian Hup Seng Biscuit Factory Sdn. Bhd. tersenarai dengan status “Sijil Telah Ditarik Balik”.
Kelmarin Kosmo! melaporkan sijil halal kilang memproses kopi dan biskut di sini ditarik semula selepas dikesan menggunakan berus diperbuat daripada bulu babi untuk membersihkan peralatan di premis.
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md. Azhan Samat berkata, perbuatan itu terbongkar selepas pasukan daripada Bahagian Pengurusan Halal membuat pemeriksaan pada Januari lalu.
Ujarnya, hasil semakan kilang berkenaan merupakan pemegang SPHM dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan telah beroperasi lebih 10 tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

7 hours ago
7












![[VIDEO] Ada 6 lagi dapat 11A, doakan kawan-kawan saya juga – Fakhrul Iman](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/WhatsApp-Image-2026-04-02-at-10.23.27-PM.jpeg)


![[KEMAS KINI] Tiga sekeluarga maut, dua parah kemalangan tiga kenderaan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/f0f989eb-d1fe-48e5-ba1a-2ecfc6d9ccdb.jpeg)

































