BDR di Lembah Klang jimatkan RM169 juta sebulan

4 hours ago 4

PETALING JAYA – Pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) yang bakal bermula 15 April ini susulan konflik di Asia Barat berpotensi menghasilkan penjimatan sebanyak RM169 juta sebulan.

Kajian daripada kumpulan alam sekitar, RimbaWatch, berkata, ia berdasarkan jumlah tenaga kerja di Lembah Klang berjumlah 4.1 juta orang dengan andaian 50 peratus daripadanya akan melaksanakan BDR.

“Seramai 2.05 juta pekerja dapat mengelakkan perjalanan harian dengan purata 20 kilometer setiap hala, dengan penggunaan bahan api dalam trafik sesak sebanyak 0.11 liter setiap km.

“Berdasarkan anggaran ini, seorang pekerja purata di Lembah Klang menggunakan 2.2 liter petrol sehari untuk berulang-alik ke tempat kerja. Jika 50 peratus tenaga kerja bekerja dari rumah, ia akan menjimatkan 4.51 juta liter petrol sehari, atau 90.2 juta liter sebulan.

“Dengan subsidi bahan api semasa RM1.87 seliter, ini bersamaan dengan penjimatan RM169 juta sebulan. Jika situasi geopolitik berterusan atau bertambah buruk sepanjang setahun, penjimatan subsidi boleh meningkat sehingga RM2.03 bilion,” kata RimbaWatch menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, pengiraan berfokus hanya melibatkan Lembah Klang, yang mewakili 23 peratus daripada jumlah tenaga kerja di Malaysia.

“Pelaksanaan BDR secara menyeluruh di seluruh negara berpotensi menjimatkan sehingga RM1 bilion sebulan, bergantung kepada kadar pelaksanaannya,” ujar kenyataan itu.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, dasar BDR bagi sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan akan berkuat kuasa pada 15 April ini.

Ia bertujuan menangani krisis tenaga global, mengurangkan penggunaan bahan api serta memastikan kelestarian bekalan tenaga Malaysia, yang terjejas akibat konflik di Timur Tengah.

Dalam pada itu RimbaWatch mendedahkan, selain penjimatan fiskal dan peningkatan produktiviti, BDR juga bermanfaat kepada alam sekitar yang mana di Lembah Klang, kira-kira 70 peratus pencemaran udara berpunca daripada kenderaan.

Berdasarkan data, RimbaWatch berkata, menunjukkan majoriti rakyat Malaysia memandu bersendirian ke tempat kerja, dan pengurangan 2.05 juta kenderaan melalui BDR mampu meningkatkan kualiti udara dan kesihatan awam secara ketara.

“Selain itu, langkah ini dapat mengurangkan kira-kira 10,400 tan pelepasan karbon dioksida sehari, 208,000 tan sebulan atau 2.5 juta tan setahun, bersamaan pelepasan tahunan negara kecil seperti Fiji.

“Pencemaran udara dianggarkan menelan kos RM303 bilion setahun dari segi kesihatan awam, bersamaan kira-kira 20 peratus KDNK negara.

“Malah, sekitar 32,000 kematian setiap tahun di Malaysia dikaitkan dengan pencemaran udara, dengan penyakit pernafasan menjadi punca kedua tertinggi kematian,” ujar kenyataan itu.

Menurut RimbaWatch, pekerja di Lembah Klang juga membazirkan sekitar 580 jam setahun dalam kesesakan trafik, dengan kos dianggarkan RM9,000 setahun bagi bahan api dan penyelenggaraan kenderaan.

Malah, Malaysia juga dianggarkan telah menggunakan sepenuhnya peruntukan karbon globalnya, sekali gus menuntut peralihan segera kepada laluan penyahkarbonan.

Disebabkan itu, RimbaWatch menyarankan kerajaan melaksanakan langkah jangka panjang termasuk pengagihan semula bajet bagi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dan kemudahan berjalan kaki di kawasan bandar dan luar bandar.

“Hentikan kebergantungan kepada bahan api fosil
Kos tenaga solar di Malaysia kini lebih rendah berbanding arang batu dan gas. Tenaga solar juga kurang terdedah kepada risiko geopolitik, sekali gus sesuai untuk keselamatan tenaga dan penyahkarbonan negara.

“Sehubungan itu, Malaysia perlu merancang penghapusan loji janakuasa arang batu dan gas secara berperingkat dan menggantikannya dengan sumber tenaga boleh diperbaharu,” tambah kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |