PETALING JAYA – Pasukan Langgor FC dari Perak muncul sebagai juara dalam perlawanan akhir peringkat kebangsaan Piala Rakan Grab sempena Festival Rakan Grab yang dianjurkan oleh Grab Malaysia.
Kejohanan bola sepak komuniti ini menghimpunkan rakan-pemandu dan penghantar Grab dari seluruh Malaysia.
Perlawanan akhir yang berlangsung baru-baru ini merupakan kemuncak kejohanan Piala Rakan Grab yang telah dilancarkan pada 2024 dengan kerjasama Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Kejohanan yang merangkumi 11 bandar ini telah berjaya menarik penyertaan lebih 1,200 rakan Grab bersama keluarga mereka.
Para juara dari setiap negeri termasuk Selangor, Johor, Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah telah dibawa ke Kuala Lumpur untuk berentap bagi merebut kejuaraan peringkat kebangsaan.

Acara ini bukan sahaja memberi peluang istimewa kepada rakan Grab untuk bertemu dengan idola bola sepak mereka, memupuk semangat kemasyarakatan dan mengeratkan hubungan sesama peserta melalui minat bersama terhadap sukan ini.
Festival Rakan Grab turut berlangsung seiring dengan perlawanan akhir ini.
Festival yang merupakan sebuah acara komuniti ini telah menampilkan pelbagai aktiviti di lapangan serta pameran daripada rakan-rakan GrabBenefits.
Pada awal tahun ini, Grab Malaysia telah memperluaskan program GrabBenefits daripada tiga kepada lima teras utama yang merangkumi Insurans, Takaful dan Perlindungan Sosial, Tawaran Harian, Akademi, Penyelesaian Kewangan Gig, dan Komuniti.
Bagi menjayakan inisiatif ini, Grab Malaysia telah memperuntukkan dana melebihi RM10 juta untuk mewujudkan sistem sokongan yang lebih menyeluruh dan bersepadu buat rakan-pemandu dan rakan-penghantar.
Selain itu, acara ini turut menyaksikan penganugerahan Everyday Heroes Awards kepada rakan Grab yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang 2024.

Antara kategori anugerah termasuk ‘best service Award’, ‘most ride/deliveries award’ dan ‘longest serving partner’.
Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo berkata, perlawanan akhir Piala Rakan Grab peringkat kebangsaan dan Festival Rakan Grab adalah sebahagian daripada usaha berterusan mereka untuk menyokong dan mengiktiraf komuniti rakan Grab.
“Acara seperti ini merupakan cara yang bermakna bagi kami untuk berinteraksi dengan rakan-rakan kami di luar rutin harian, menggalakkan perpaduan, kerja berpasukan, dan semangat kesukanan melalui bola sepak.

“Ia juga mengukuhkan komitmen berterusan kami untuk menyokong rakan-rakan kami dalam aspek yang penting kepada mereka dan keluarga mereka,” katanya.
Inisiatif-inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Grab Malaysia untuk membangkit dan memperkasa komuniti rakannya.
Dengan mengadakan peluang bermakna untuk berhubung, sama ada melalui bola sepak atau penglibatan komuniti, Grab Malaysia berhasrat untuk memupuk semangat perpaduan yang kukuh, sambil terus menyokong kesejahteraan dan aspirasi rakan pemandu dan rakan penghantarnya. – KOSMO! ONLINE