‘Dua jam saya pangku mayat suami, urut dada dan buang selut pada badan’

5 days ago 14

ALOR SETAR – “Saya hanya mampu riba badan suami yang sudah tidak bernyawa selama dua jam. Keadaan arwah sangat menyayat hati, saya urut dada dan buang selut pada tubuhnya.”

Demikian luah Marliana Awang, 39, isteri kepada Allahyarham Nasir Md. Nayan, 45, ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Katanya, sebelum kejadian dia sempat berbual dengan suami dan memintanya membawa masuk kambing ke kawasan rumah ibunya yang terletak berdekatan.
“Saya kata, abah, sekarang dah nak pukul 7 malam, lekas bawak masuk kambing. Selepas itu dia pun pergi ke kawasan rumah mak yang terletak selang dua buah rumah.

“Selepas itu, saya tunggu lama dan tertanya-tanya sebab apa dia tak balik lagi sebelum orang kampung datang dan beritahu nampak ada orang bergaduh dalam bendang,” katanya.

Ujarnya, dia terus menunggang motosikal ke lokasi dan nampak suaminya sudah terbaring di dalam bendang.

“Saya terus masuk sawah berselut itu dan riba badan suami dalam keadaannya yang sangat menyayat hati.
Saya riba dari sebelum azan maghrib sampai hampir pukul 10 malam.

“Selepas itu orang kampung dan polis sampai, mereka minta saya naik. Sukar nak gambarkan perasaan saya waktu itu, Allah ambil dia dalam keadaan macam itu, namun saya reda,” jelasnya.

Menurutnya lagi, sepanjang meriba mayat suaminya, dia hanya berdoa supaya segala urusan suaminya dipermudahkan dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Arwah suami seorang yang sangat baik, dia rapat dengan dua anak lelaki berusia tujuh dan 12 tahun,” tambahnya.

Kosmo! Online malam tadi melaporkan, seorang lelaki berusia 45 tahun ditemui maut dalam keadaan mengerikan selepas ditetak dengan parang oleh adik iparnya dalam kejadian di kawasan sawah di Kampung Pida 3, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.05 malam itu, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan diselaputi lumpur dengan kepala terpisah daripada badan.

Bahagian kepala dijumpai pada jarak kira-kira satu meter dari lokasi badan mangsa. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |