JOHOR BAHRU – Lima beranak terpaksa mencatu makanan hampir setiap hari selepas ketua keluarga, Md. Nor Khalid, 59, hilang penglihatan akibat penyakit saraf beberapa bulan lalu.
Isterinya, Norazlin Mohamed Noor, 47, berkata, semuanya bermula apabila suaminya yang bekerja sebagai tukang urut menjalani pembedahan apendiks di Hospital Sultanah Aminah di sini November lalu.
Katanya, sejak itu penglihatan suaminya mula merosot sebelum buta sepenuhnya lima bulan kemudian.
“Doktor sahkan ia berpunca akibat masalah saraf dan tiada rawatan sesuai. Keadaan bertambah teruk apabila suami disahkan mengalami kanser mata tahap empat dan telah merebak ke bahagian otak,” katanya ketika ditemui di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Rawa 1, Taman Perling, di sini semalam.
Tambah Norazlin, doktor juga menasihatkan suaminya untuk menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di tisu mata, namun terpaksa ditangguhkan kerana masalah kewangan.
“Buat masa ini kami bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam Johor berjumlah RM1,100 untuk membayar sewa rumah, bil utiliti, van sekolah dan duit belanja sekolah anak.
“Kami ulang alik ke hospital dengan menaiki pengangkutan awam kerana motosikal suami rosak,” katanya.
Norazlin memberitahu, faktor kesempitan hidup menyebabkan pihaknya terpaksa mencatu makanan dengan telur menjadi menu harian mereka.
“Jarang sekali kami makan lauk ayam atau ikan. Anak-anak juga sudah biasa makan roti atau biskut cicah air sirap.
“Alhamdulillah, anak-anak faham dan mereka tidak pernah merungut dengan kesusahan hidup yang kami alami,” katanya.
Sementara itu, Md. Nor yang kini merupakan pemegang kad orang kurang upaya sejak Mei lalu akur dengan risiko kesihatan sekiranya dia tidak menjalani rawatan termasuk pembedahan dengan segera.
“Ada masa kepala saya pening, sakit sangat rasanya sehingga mahu hantukkan ke dinding. Saya sedar kami sekeluarga adalah orang susah.
“Kami ada terima bantuan daripada saudara-mara, tetapi mereka juga ada keperluan sendiri. Buat waktu ini majoriti wang digunakan untuk rumah, sekolah serta tambang teksi dari rumah ke hospital,” ujarnya.
Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank Md. Nor iaitu 101011431337.