Cadangan gelaran wira negara untuk Suharto terima tentangan 

2 days ago 12

JAKARTA – Cadangan untuk memasukkan bekas diktator Indonesia, Suharto ke dalam senarai wira negara mencetuskan tentangan pejuang-pejuang hak asasi manusia yang menyifatkan pencalonan beliau sebagai ‘pengkhianatan’.

Bekas Presiden Suharto yang meninggal dunia dalam tahun 2008 pada usia 86 tahun itu memerintah Indonesia secara kuku besi selama lebih tiga dekad selepas mengambil alih kuasa pada 1967 susulan kudeta yang gagal.

Pemerintahan bekas jeneral tentera itu dicemari dakwaan rasuah dan pencabulan hak asasi manusia, termasuk tindakan keras terhadap musuh  politik.

Hari ini, kira-kira 500 anggota masyarakat awam, aktivis dan ahli akademik menerbitkan surat yang dihantar kepada Presiden Prabowo Subianto meminta beliau untuk tidak meneruskan keputusan itu.

Prabowo ialah menantu Suharto.

“Penganugerahan wira negara kepada Suharto bukan sahaja pengkhianatan kepada mangsa dan nilai-nilai demokrasi, tetapi juga pengkhianatan kepada reformasi dan merupakan penyelewengan sejarah yang berbahaya bagi generasi muda,” demikian menurut kandungan surat itu.

Prabowo masih menyemak senarai pendek wira negara berkenaan, kata Setiausaha Negara Prasetyo Hadi minggu lalu.

Beliau menambah, Presiden Indonesia mempunyai kuasa untuk memutuskan senarai akhir, yang akan dimuktamadkan pada 10 November ini.

Jurucakap presiden tidak menjawab permintaan AFP untuk mengulas isu tersebut.

Surat itu menyoroti pencabulan hak asasi manusia di bawah pemerintahan Suharto termasuk dakwaan pembunuhan beramai-ramai penunjuk perasaan pelajar oleh pasukan pro-Suharto menjelang kejatuhannya pada tahun 1998.

“Jika Suharto dianugerahkan status wira negara, ia akan menjadi pengabaian monumental dan tidak sensitif terhadap pencabulan hak asasi manusia,” kata Marzuki Darusman iaitu bekas peguam negara yang turut menandatangani surat itu, pada sidang akhbar.

Kumpulan hak asasi, Amnesty International menyuarakan kebimbangan bahawa kemasukan Suharto dalam senarai itu akan mengaburkan sejarah Indonesia.

“Undang-undang menyatakan bahawa seorang wira mesti mempunyai teladan moral, mesti mempunyai integriti moral dan mesti merangkumi kualiti keadilan sosial, keadilan kemanusiaan serta berada di hati rakyat,” kata pengarah eksekutif Amnesty International Indonesia, Usman Hamid, kepada wartawan. – AFP 

Read Entire Article
Pertanian | | | |