Cabaran gandingan baharu Pandelela

7 hours ago 4

GANDINGAN ratu terjun, Datuk Pandelela Rinong dan bintang muda meningkat naik, Lee Yiat Qing bakal membuat penampilan sulung acara 10 meter (m) platform seirama di Kejohanan Akuatik Dunia 2025 hari ini dengan misi memburu pingat pertama negara.

Cabaran utama mereka bukan hanya soal keserasian, sebaliknya kemampuan meningkatkan darjah kesukaran terjunan iaitu aspek utama yang menjadi pemisah antara podium dan kelompok pertengahan, khususnya berdepan kuasa besar seperti China, Jepun dan Mexico.

“Dari awal lagi, darjah kesukaran terjunan kita agak rendah berbanding negara lain. Jadi memang sukar untuk kita naik ke podium,” ujar Pengarah Teknikal kem terjun negara, Yeoh Ken Nee yang menekankan keperluan mengambil risiko untuk melonjakkan markah.

Ia juga ujian sebenar buat Yiat Qing yang kali pertama digandingkan dengan Pandelela di pentas dunia dan memberi bayangan awal sama ada pasangan itu mampu diketengahkan sebagai sandaran tetap menjelang temasya besar seperti Sukan SEA dan Sukan Asia.

Buat Pandelela, tugas kali ini jauh berbeza kerana dia bukan sahaja menjadi penerjun utama, tetapi juga mentor kepada pasangan baharu.

Kali terakhir pemenang pingat gangsa dan perak Sukan Olimpik itu menaiki podium menerusi gangsa bersama Nur Dhabitah Sabri di Sukan Asia Hangzhou 2023, manakala emas terakhir diraihnya pada Grand Prix Terjun 2022.

“Prestasi berpasukan campuran sederhana tapi ini kali pertama sebahagian penerjun kita beraksi di kejohanan dunia. Ia peluang baik untuk mereka memahami suasana pertandingan.

“Kita sedang membentuk generasi pelapis dan mereka perlu lebih banyak pendedahan antarabangsa,” tambah Ken Nee yang mahu lebih ramai atlet muda diberi ruang menyertai kejohanan bertaraf dunia sebagai pelaburan masa depan.

Malaysia menamatkan saingan berpasukan campuran kelmarin di tangga ke-16, namun fokus kini beralih kepada acara individu dan seirama, termasuk penampilan semula beberapa nama utama seperti Pandelela dan Enrique Harold dalam acara masing-masing.

Sekiranya Pandelela dan Yiat Qing berjaya menggabungkan terjunan yang kemas dengan tahap kesukaran mencabar, peluang untuk menamatkan kemarau pingat masih terbuka, malah mungkin menjadi langkah pertama ke arah pembinaan semula skuad elit negara. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |