Bot karam: 10 PATI ditemui, seorang wanita Rohingya maut

2 hours ago 1

LANGKAWI – Seramai 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar daripada etnik Rohingya serta Bangladesh dari bot yang didakwa karam ditemukan di perairan serta kawasan sekitar Langkawi setakat tengah malam tadi.

Daripada kesemua PATI itu, seorang wanita Rohingya ditemukan dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira pukul 12.20 tengah hari semalam apabila dua lelaki dan seorang wanita Rohingya ditemukan di Jeti Kilang Simen Teluk Ewa, di sini.
“Tangkapan kesemua tiga etnik Rohingya itu dilakukan oleh polis Ayer Hangat,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kira-kira dua jam kemudian, anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan seorang lelaki Bangladesh di Pulau Anak.

“Tidak lama selepas itu, APMM menemui mayat wanita Rohingya di pesisir Pantai Teluk Cincin,” ujarnya.

Menurutnya, seorang lagi lelaki Rohingya ditemui oleh anggota unit kereta peronda (MPV) di Kelab Golf Teluk Datai pada pukul 4.20 petang semalam, diikuti penemuan seorang wanita Rohingya oleh APMM di Tanjung Belua kira-kira pukul 7.50 malam tadi.

“Tangkapan terakhir setakat pukul 12.30 tengah malam tadi melibatkan dua lelaki Rohingya dan seorang warga Bangladesh oleh polis Balai Kuala Teriang,” jelasnya.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan sebuah bot yang dikatakan membawa antara 90 hingga 100 PATI didakwa karam dengan satu mayat wanita Rohingya ditemukan di perairan ini petang semalam.

Enam lagi PATI terdiri daripada warga Myanmar dan Bangladesh dijumpai dalam keadaan selamat selepas hanyut di perairan ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, hasil siasatan mendapati PATI terbabit mendakwa berlayar dari Myanmar sejak sebulan lalu dengan menaiki kapal besar bersama kira-kira 300 orang.

“Selain itu, ada juga yang mendakwa menaiki kapal bersama 300 orang sebelum dipecahkan kepada tiga bot kecil, dengan satu bot membawa antara 90 hingga 100 orang ketika menghampiri sempadan.

“Dipercayai hanya satu bot yang karam di laut, manakala keberadaan dua lagi bot belum dapat dipastikan,” katanya.

Lokasi karam masih dalam siasatan dan terdapat kemungkinan ia berlaku di perairan Thailand sebelum hanyut ke perairan negara, jelas Adzli.

“Kita bersama APMM sedang menjalankan siasatan lanjut dengan pemantauan serta rondaan di laut giat dilakukan,” katanya.

Beliau turut mendedahkan setiap warga asing terbabit dipercayai membayar kira-kira RM13,000 kepada sindiket, dengan ada antara mereka terpaksa menjual tanah, rumah dan haiwan ternakan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |