Belum dapat skrol graduan UUM sudah raih RM20,000

3 hours ago 2

SINTOK – Seorang graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) mencuri tumpuan apabila berjaya meraih pendapatan mencecah RM20,000 sebulan sekali gus membuktikan kemampuan graduan universiti itu bersaing hebat dalam dunia pekerjaan dan keusahawanan.

Graduan berkenaan, Muhammad Rahman Adabi, 23, kini bergelar usahawan muda berjaya dan menjadi antara 13 graduan sarjana muda yang memperoleh pendapatan melebihi RM10,000 sebulan walaupun belum menerima skrol masing-masing.

Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, pencapaian Muhammad Rahman dan rakan-rakannya adalah cerminan kejayaan universiti dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga mempunyai daya saing dan semangat keusahawanan tinggi.
“Seramai 93 peratus graduan mengisi Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) sebelum mengambil jubah, pada 5 November ini. Daripada jumlah tersebut, 918 graduan atau 15 peratus memperoleh pendapatan melebihi RM4,000 sebulan.

“Bagi graduan ijazah sarjana muda sahaja, seramai 519 orang atau 10 peratus berpendapatan lebih RM4,000 sebulan.  Menariknya, seramai 13 graduan sarjana muda yang baru menaiki pentas dalam majlis konvokesyen kali ini, sudah berpendapatan melebihi RM10,000 sebulan.

“Seorang daripadanya, Muhammad Rahman Adabi sudah menjadi usahawan dengan pendapatan melebihi RM20,000 sebulan,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-38 Universiti Utara Malaysia (UUM) di Dewan Mu’adzam Shah di sini hari ini.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berangkat mengisytiharkan sesi pertama dan mengurniakan ijazah kepada 92 graduan pada majlis konvokesyen tersebut.

Baginda turut berkenan mengurniakan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengurusan Perniagaan Islam kepada Pengerusi International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF) University, Tan Sri Azman Mokhtar, 64. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |