Bapa Zayn Rayyan rayu bantuan kos Mahkamah Tinggi

7 hours ago 7

PETALING JAYA – Bapa Allahyarham Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari tampil merayu bantuan orang ramai bagi menampung kos perbicaraan, khususnya di peringkat Mahkamah Tinggi.

Zaim berkata, sejak kes tersebut bermula di Mahkamah Sesyen, dia dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf telah membelanjakan kira-kira RM200,000 bagi menampung kos guaman dan urusan berkaitan mahkamah.

Menurutnya, mereka kini memerlukan tambahan sekitar RM65,000 lagi untuk meneruskan prosiding di Mahkamah Tinggi yang dijangka melibatkan kos lebih tinggi.

“Dengan rendah hati saya ingin merayu dan memohon jasa baik serta keprihatinan daripada saudara mara, rakan-rakan dan orang ramai untuk membantu saya dan isteri dalam menampung kos di Mahkamah Tinggi.

“Sejak dari pertuduhan di Mahkamah Sesyen, kami telah berhabisan kira-kira RM200,000 untuk kegunaan mahkamah sahaja. Kini kami memerlukan lebih kurang RM65,000 lagi,” katanya dalam satu kenyataan di Instagram.

Zaim menegaskan bahawa segala usaha yang dilakukan adalah demi memastikan keadilan dapat ditegakkan buat arwah anaknya serta keluarga mereka.

“Saya merayu orang ramai untuk membantu menghulurkan sumbangan demi mendapatkan keadilan buat seluruh keluarga kami termasuk arwah Zayn Rayyan,” ujarnya.

Sebelum ini, kes kanak-kanak autistik Zayn Rayyan mendapat perhatian meluas selepas mangsa dilaporkan hilang sebelum ditemui meninggal dunia di kawasan berhampiran sungai di Damansara Damai pada Disember 2023.

Kedua-dua ibu bapanya telah didakwa di Mahkamah Sesyen. Ismanira diperintah membela diri, manakala suaminya Zaim Ikhwan dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dua tahun lalu.

Pada 31 Oktober tahun lalu, Ismanira dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas mahkamah mendapati wanita itu bersalah melakukan pengabaian terhadap anak sulungnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |