JOHOR BAHRU – Luluh hati seorang ibu apabila melihat penderitaan yang terpaksa ditanggung anak bongsunya berusia 11 bulan yang diuji dengan penyakit hati kronik atau Biliary Atresia sejak berusia dua bulan.
Asfa Qawiy Muhammad Syafiq kini bergantung sepenuhnya kepada ubat-ubatan dan rawatan rapi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas keadaan hatinya semakin merosot.
Menurut ibunya, Nor Fatin Ismail, 33, pada usia tiga bulan, Asfa Qawiy pernah menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Aminah di sini, bagi membantu aliran hempedu keluar dari hati anaknya.
Ibu kepada lima cahaya mata itu berkata, pada mulanya mereka menyangka anak kembar bongsunya itu hanya menghidap penyakit kuning biasa.
“Melihat kepada kulit, mata dan najis Asfa Qawiy yang berubah warna serta perutnya semakin membesar, kami tahu ada sesuatu yang tidak kena.
“Selepas beberapa siri pemeriksaan, doktor sahkan saluran hempedu Asfa tersumbat sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Menurut Nor Fatin, bagi menyelamatkan nyawa anaknya itu, doktor memaklumkan Asfa Qawiy perlu melalui pembedahan pemindahan hati (liver transplant) yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM200,000.
Fatin yang merupakan seorang suri rumah berkata, dia tidak mampu bekerja kerana perlu menjaga Asfa Qawiy setiap hari, manakala suaminya, Muhammad Syafiq Rahmi A. Hamid, 33, bekerja di sebuah kilang di Singapura dengan pendapatan sekitar RM4,600 sebulan.
Pendapatan itu digunakan untuk membeli ubat, susu khas dan menampung kos ulang-alik hospital.
Pasangan itu mempunyai lima anak iaitu Aqil Qusyairy, 6, Ayra Qalesya, 4, Adli Qayyum, 3, serta pasangan kembar, Anas Qausar dan Asfa Qawiy.
Bagaimanapun, hanya Asfa Qawiy mengalami masalah kesihatan serius sejak lahir.
Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia (NPM) (Maybank 5515 7530 7417) dengan rujukan ‘Bantuan Asfa BA’.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat kepada Puan Mars (NPM) di 013-7444501, Syafiq (bapa) di 016-7746751 atau Fatin (ibu) di 017-6044903.

1 week ago
13


















![[VIDEO] Pempengaruh dikecam buat live lucah, isteri turut gelak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-06-at-3.28.35-PM.jpeg)






























