Banjir besar selepas kemarau 7 tahun, Maghribi pindah 50,000 penduduk

6 hours ago 4

RABAT –  Pihak berkuasa memindahkan lebih 50,000 orang atau  hampir separuh populasi bandar Ksar El Kebir di barat laut Maghribi  berikutan banjir yang didorong hujan lebat selama berminggu-minggu, kata media kerajaan semalam seperti laporan akhbar Arab News.

“Ksar El-Kebir menjadi bandar hantu.

“Semua pasar dan kedai ditutup dan kebanyakan penduduk sama ada telah meninggalkan bandar ini  secara sukarela atau dipindahkan,” kata penduduk tempatan,  Hicham Ajttou. 

Pihak berkuasa mendirikan pusat perlindungan dan kem sementara serta  melarang kemasukan ke Ksar El-Kebir selepas air Sungai Loukkos melimpah dan menenggelamkan ke beberapa kejiranan. 

Hanya perjalanan keluar dari bandar itu dibenarkan ketika bekalan elektrik terputus di sebahagian kawasan dengan sekolah-sekolah diarah  tutup  sehingga Sabtu ini.

Beberapa pegawai berkata,  banjir itu sebahagiannya berpunca daripada  air dilepaskan dari empangan berdekatan, Oued Makhazine yang telah mencapai kapasiti penuh. 

Bandar Ksar El-Kebir terletak kira-kira 190 kilometer ke  utara Rabat.

Ajttou berkata,  dia memindahkan keluarganya ke Tangier minggu lalu dan kembali ke Ksar El-Kebir untuk menjadi sukarelawan banjir.

“Persoalan yang merisaukan kami ialah apa yang akan berlaku seterusnya. Empangan sudah penuh dan kami tidak tahu berapa lama situasi ini akan berlarutan,” katanya.

Sementara itu,  tentera Maghribi mengerahkan unit penyelamat, trak, peralatan dan pasukan paramedik untuk menyokong operasi menyelamat dengan bas-bas disediakan untuk memindahkan orang ramai dari bandar itu.

Hujan lebat  menamatkan kemarau tujuh tahun yang mendorong Maghribi untuk melabur besar-besaran dalam loji penyahgaraman.

 Kadar pengisian air  empangan negara kini hampir  62 peratus, dengan beberapa takungan utama mencapai kapasiti penuh, demikian  menurut data rasmi. – AGENSI 

Read Entire Article
Pertanian | | | |