Ajaran ‘Ahmadi Agama Keamanan dan Cahaya’ dikesan di Telok Mas

8 hours ago 7

MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menyerbu sebuah kediaman di Telok Mas dekat sini selepas mengesan pengamalan ajaran sesat ‘Ahmadi Agama Keamanan dan Cahaya’ yang mengangkat Muhammad bin al-Hassan al-Askari sebagai Imam al-Mahdi, semalam.

Dalam serbuan pada pukul 8 pagi itu, seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan susulan penemuan bahan berkaitan ajaran terbabit termasuk poster dan dokumen fahaman.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rahmad Mariman berkata, hasil penggeledahan membawa kepada penyitaan 16 barangan untuk siasatan di bawah Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

Menurutnya, ajaran Ahmadi Agama Keamanan dan Cahaya telah difatwakan sesat dan menyeleweng serta bercanggah dengan ajaran Islam sebenar, pada 6 November tahun lalu.

“Satu operasi bersepadu dijalankan semalam di sebuah rumah di Telok Mas susulan dakwaan pengamalan ajaran Ahmadi Agama Keamanan dan Cahaya.

“Siasatan awal mendapati suspek mengamalkan kepercayaan mencurigakan, antaranya mengangkat Muhammad bin al-Hassan al-Askari sebagai Imam al-Mahdi serta mendakwa Ahmad al-Hasan dan Abdullah Hashem sebagai penolong Mahdi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah beliau, fahaman ajaran itu menafikan konsep syurga, neraka dan akhirat seperti termaktub dalam al-Quran dan hadis dengan mendakwa ia berada di dunia, manakala neraka ditafsirkan sebagai matahari.

“Selain itu, suspek mendakwa wanita tidak wajib menutup aurat, solat lima waktu merujuk kepada kepatuhan kepada wali dan penolong Imam Mahdi, manakala al-Quran hari ini tidak lengkap.

“Suspek juga percaya arak adalah halal serta perbuatan homoseksual bukan satu kesalahan pada zaman Nabi Lut,” katanya.

Mengulas lanjut Rahmad berkata, suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Melaka hari ini dan didakwa mengikut Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana menghina agama Islam.

Katanya, lelaki itu membuat pengakuan bersalah dan diperintahkan untuk membayar denda sebnyak RM2,500.

Tambahnya lagi, siasatan lanjut sedang dilakukan oleh pihak JAIM bagi mengesan individu-individu lain yang disyaki terlibat dalam ajaran sesat berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |