‘Biar saya bawa diri, belah sana dah ada haluan berbeza’

9 hours ago 7

KUALA LUMPUR – Mesej lama dengan penyanyi Bella Astillah ditularkan semula, pelakon Muaz Zabir menyifatkan perbuatan tersebut dilakukan golongan pendengki yang tidak senang melihat ketenangan hidupnya.

Muaz atau nama lengkapnya, Muaz Mohamad Zabir, 28, berkata perkara seumpama itu enggan dipedulikan, sebaliknya terus maju ke depan memandangkan semua pihak sudah memilih jalan masing-masing.

“Saya tak perasan pun penularan paparan mesej lama dalam WhatsApp dan kalau ada orang ‘tag’ pun bagi saya hal lepas biarkan berlalu.

“Sebelah sana pun dah ada haluan berbeza, dah ada pasangan. Jadi biarlah saya bawa diri saja. Biasalah, kadang-kadang manusia ini kita tahu diciptakan dengan hasad dengki.

“Mungkin mereka rasa saya sekarang terlampau tenang, tiada konflik. Mereka cuba ungkit hal lama. Ini semua pendengki,” katanya ketika ditemui pada majlis Jwanjih Kenyang anjuran TV3 di Banglo 289, semalam.

Menurutnya, segelintir individu dalam arena hiburan tidak boleh melihat orang lain bahagia serta senang sekali gus sanggup menabur fitnah.

Ulas Muaz lagi, seandainya cerita buruk mengenai dirinya masih diperkatakan, dia tidak mampu berbuat apa-apa namun terus memberikan hasil kerja terbaik dalam lakonan.

“Kita tak nak lah cakap industri kita ini kotor, tapi mana-mana kerja pun ada politik, ada hierarki macam kalau orang itu suka orang ini, takkan dia nak ambil saya.

“Kita faham benda itu. Saya cuba untuk memberikan sehabis baik usaha saya untuk menjayakan komitmen yang diberikan. Andai kata produksi itu bagi tanggungjawab kepada saya untuk selesaikan projek itu, saya akan selesaikan.

“Saya akan pastikan segala kata-kata negatif tidak menjejaskan mutu kerja. Saya tak boleh nak memenangi hati semua orang, tapi saya akan usaha. Itu saja saya boleh cakap,” ujarnya.

Pada masa sama, pelakon drama Mitos Cinta Kita itu hanya ingin berterima kasih kepada pihak yang ‘menjentiknya’ kerana itu menandakan individu terbabit masih mengikuti perkembangannya.

“Saya nak cakap terima kasih kerana sentiasa ingat saya. Sebab rasanya bila dijentik bermaksud orang itu sayangkan saya.

“Tapi kalau awak ada niat tidak baik, iri hati, buanglah sebab benda yang menghitamkan hati sendiri. Bukan menjatuhkan saya. Saya rasa saya boleh ‘survive,” katanya.

Sebelum ini Muaz dan Bella pernah dikaitkan menjalin hubungan istimewa apabila kerap dilihat bersama menghadiri beberapa majlis dan acara bersama-sama namun kemudian masing-masing dilihat memilih haluan sendiri. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |