ALOR SETAR – PKR kini berada pada tahap terbaik, berbeza dengan parti-parti lain di negara ini yang berdepan ketidaktentuan dan cabaran tersendiri.
Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kekuatan itu perlu terus dibina dan diperkukuhkan dengan kerjasama semua ahli sebagai sebuah pasukan.
“Kita kerja sebagai satu pasukan, percayalah kalau ini semangatnya saya percaya dengan kelam kabut parti-parti yang ada dalam negara ini dan walaupun ada musuh-musuh masih mempertikai rekod kita urus negara, saya yakin Keadilan akan bangkit sebagai kekuatan baharu yang hebat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Konvensyen Keadilan Kedah 2026 yang berlangsung di sebuah hotel, di sini hari ini.
Perdana Menteri juga mahu agar Kedah menjadi titik permulaan bagi parti itu untuk bergerak sebagai satu pasukan dan berpadu tenaga demi memperkukuh kekuatan.
“Jika anda mampu tunjukkan kekuatan sebagai satu pasukan yang bersatu, saya amat yakin dengan masa depan kita. Saya sendiri telah lama berada dalam dunia politik, sedikit sebanyak boleh membaca dan menilai dengan pengalaman yang ada.
“Sendainya dapat mengumpulkan kekuatan, membawa kembali rakan-rakan untuk berbincang serta menyemarakkan semangat kebersamaan, maka itulah asas kejayaan kita. Mana-mana hierarki kepimpinan perlu diterima dengan penuh hormat,” ujarnya.
Anwar dalam ucapan sama turut meminta pimpinan PKR Kedah menerima dengan baik Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) yang dipilihnya dengan memberikan kerjasama terbaik untuk parti.
Dalam pada itu, kata beliau, Kedah berpotensi untuk ditawan semula oleh PKR di beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana pernah menjadi kubu awal parti.
“Kedah adalah negeri yang telah menunjukkan keupayaan dan potensi yang baik. Kawasan negeri dan Parlimen yang pernah kita tawan dengan berjaya perlu dipertahankan, terutamanya di selatan Kedah.
“Negeri ini adalah contoh terbaik ‘based’ Keadilan terawal dan mudah-mudahan dengan semangat yang ditunjukan kita dapat bina dan boleh menjana kekuatan parti,” tambahnya.

9 hours ago
6


















![[VIDEO] ‘Dah baling, pandai pecut kereta’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-13-at-3.01.17-PM.jpeg)






























