Ahli perniagaan, pemandu e-hailing didakwa ganggu rangkaian syarikat telco

1 week ago 13

SHAH ALAM – Dua termasuk seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menggunakan peralatan komunikasi tidak diperakui sehingga mengganggu rangkaian sebuah syarikat telekomunikasi, tahun lalu.

Kedua-dua Orang Kena Saman (OKS), Ling Siew Lung, 46 dan pemandu aplikasi e-hailing, Look Voon How, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab. Razak.

Voon How didakwa telah menggunakan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui iaitu satu set GSM Module tiada jenama, model dan nombor siri dibawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Dia juga dituduh menggunakan peralatan sama sehingga menyebabkan gangguan besar pada elektromagnetik rangkaian sebuah syarikat telco.

Siew Lung pula didakwa bagi dua pertuduhan bersubahat dengan Voon How bagi semua perbuatan itu.

Perbuatan itu dilakukan di tempat letak kenderaan berhadapan sebuah restoran makanan segera di Subang Jaya pada pukul 11.40 pagi, 19 November 2024.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM300,000 bagi setiap pertuduhan itu mengikut
Peraturan 16 (3) dan 34 (5)
Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab. Wahab mencadangkan jaminan keseluruhan sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan bersama penjamin warga tempatan.

Peguam Kee Wei Lon dan Ee Gen You mewakili kedua-dua OKS tidak membantah cadangan jaminan itu dan menegaskan tiada risiko lari.

“Kedua-duanya telah ditahan pada 19 November lalu dan masing-masing mengambil saman sendiri pada 8 dan 21 Oktober lalu,” katanya.

Mahkamah kemudiannya cadangan pihak pendakwaan dengan sebutan semula kes pada 9 Disember depan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |