PETALING JAYA – Sebanyak 80 peratus kandungan Rang Undang-Undang (RUU) Mara 2026 yang bakal menggantikan Akta Mara 1966 memberi penekanan terhadap aspek tadbir urus korporat bagi menutup ruang salah guna kuasa, ketirisan dan penyelewengan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, antara perubahan utama dicadangkan adalah mengurangkan kuasa Pengerusi Mara yang selepas ini hanya bertanggungjawab mempengerusikan Lembaga Pengarah atau Majlis serta menentukan perkara berkaitan dasar.
Katanya, langkah itu berbeza dengan Akta Mara 1966 yang memberikan kuasa besar kepada pengerusi sehingga melangkaui kuasa eksekutif pengurusan.
“Boleh dikatakan Akta baharu yang dicadangkan ini, 80 peratus adalah berkenaan dengan tadbir urus korporat Mara yang tidak pernah dibincangkan pada era 60-an,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Asyraf Wajdi, RUU berkenaan turut memperuntukkan pengasingan kuasa secara jelas antara lembaga dengan pengurusan Mara selain menetapkan kriteria kelayakan dan kesesuaian atau ‘fit and proper criteria’ bagi pelantikan Ahli Lembaga serta mengehadkan tempoh perkhidmatan.
Katanya, tatakelola kewangan dan perolehan juga akan diperketat supaya memenuhi piawaian nasional serta antarabangsa.
Selain itu, beberapa jawatankuasa lembaga diwajibkan termasuk Jawatankuasa Audit Mara, Jawatankuasa Pelaburan Mara, Jawatankuasa Kewangan dan Tadbir Urus Mara serta Jawatankuasa Risiko Mara.
“Buat pertama kali juga Jawatankuasa Syariah diwujudkan untuk memastikan segala aspek operasi Mara mematuhi prinsip Syariah,” katanya.
Menurut beliau, cadangan menggubal akta baharu dibuat selepas Majlis Marabersetuju menggantikan Akta Mara 1966 yang sudah berusia 60 tahun dan disifatkan terlalu longgar dalam aspek tadbir urus.
RUU Mara 2026 dijangka dibentangkan di Parlimen sebelum hujung tahun ini selepas kelulusan dasar diperoleh daripada Mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu.
Asyraf Wajdi berkata, usaha memperkukuh tadbir urus itu bermula selepas beliau dilantik sebagai Pengerusi Mara pada 10 Mac 2023 dengan penubuhan pasukan khas diketuai bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim.
Antara isu dikenal pasti termasuk pembelian aset di Australia dan United Kingdom antara 2012 hingga 2014 yang menyebabkan anak syarikat Mara Corp., Mara Inc. mengalami kerugian terkumpul RM286.30 juta bagi tempoh 2012 hingga 2022.
Turut dibangkitkan ialah isu penajaan pasukan bola sepak Kelantan, TRW sekitar 2016 hingga 2017, kerugian jutaan ringgit daripada beberapa projek, kelemahan kutipan hutang pinjaman serta dakwaan kartel menguasai tender perolehan termasuk tender makanan bernilai puluhan juta ringgit.
“Semua ini dilaksanakan agar tiada lagi kes dan insiden berkaitan salah guna kuasa, kelemahan tadbir urus, penyelewengan, penyimpangan, ketirisan mahupun keborosan yang boleh berlaku dan berisiko mengakibatkan kemudaratan besar kepada institusi terbesar yang bertanggungjawab menjaga kepentingan Melayu dan Bumiputera negara ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
10


![[VIDEO] ‘Tak sangka mi goreng dan cekodok boleh ‘seviral’ ini’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-13-at-19.53.42.jpeg)













































