MADRID – Seramai 44 pelajar Yahudi Perancis diusir keluar dari sebuah pesawat di Sepanyol di tengah-tengah laporan mereka membahayakan keselamatan penerbangan, lapor portal berita MailOnline semalam.
Kumpulan pelajar berusia antara 10 hingga 15 tahun dan beberapa orang dewasa itu diiringi keluar daripada penerbangan Vueling V8166 di lapangan terbang Valencia semalam sebelum ia berlepas ke Paris.
Imej yang dikongsi ke media sosial menunjukkan seorang dewasa dalam kumpulan itu ditahan oleh pengawal awam Sepanyol sejurus selepas dia dikeluarkan daripada pesawat berkenaan.
Kejadian itu mencetuskan bantahan di Israel dengan Menteri Diaspora, Amichai Chikli menuduh syarikat Vueling Airlines dan penguat kuasa undang-undang Sepanyol sebagai anti-Semitik.
Beliau mendakwa bahawa mereka diusir selepas menyanyikan lagu dalam bahasa Yahudi di dalam pesawat dan menuduh kakitangan Vueling mengisytiharkan Israel sebagai negara pengganas tetapi tidak memberikan sebarang bukti.
Kumpulan pelajar itu sebenarnya ialah ahli Kelab Kineret, kumpulan perkhemahan musim panas Yahudi dan akan kembali ke Perancis selepas lawatan selama seminggu di Sepanyol.
Namun, jurucakap Vueling Airlines berkata, kumpulan pelajar itu diusir keluar selepas mereka yang berusia bawah umur berulang kali mengganggu peralatan kecemasan pesawat dan demonstrasi keselamatan oleh kru kabin.
“Sekumpulan penumpang terlibat dalam tingkah laku yang sangat mengganggu dan mengamalkan sikap yang sangat konfrontasi serta membahayakan pengendalian keselamatan penerbangan.
“Kumpulan ini salah mengendalikan peralatan kecemasan dan secara aktif mengganggu demonstrasi keselamatan wajib, berulang kali mengabaikan arahan daripada kru kabin,” kata jurucakap tersebut. – AGENSI