KUALA LUMPUR – Seramai 4,886 orang gelandangan direkodkan pernah mendapat manfaat daripada pusat-pusat gelandangan di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, pada ketika ini, terdapat dua pusat transit gelandangan yang sedang beroperasi.
“Pertama ialah Pusat Khidmat Gelandangan (PKG) Medan Tuanku yang bertujuan sebagai tempat pemusatan aktiviti agihan makanan kepada gelandangan di sekitar kawasan Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Medan Tuanku.
“Pengagihan makanan harian di pusat ini adalah dianggarkan sebanyak 200 hingga 250 pek makanan dengan melibatkan kerjasama enam enam NGO mengikut jadual agihan DBKL,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai jumlah gelandangan di ibu kota, sama ada pusat transit gelandangan digunakan sepenuhnya serta adakah terdapat keperluan menambah atau memperluas pusat transit gelandangan termasuk menyediakan elemen latihan dan pembangunan kemahiran untuk membantu golongan ini berdikari.
Dalam pada itu, Zaliha berkata, PKG berupaya mempunyai kapasiti untuk bermalam sehingga 100 orang penghuni, dan purata pengisian sedia ada adalah sekitar 50 hingga 90 orang dalam satu-satu masa.
“Turut disediakan ialah Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur (Anjung Kembara) yang berkapasiti 200 orang dan mengamalkan low barrier entry di mana tiada sebarang peraturan yang membebankan dan rumit untuk membenarkan gelandangan ditempatkan di sini.
“Penginapan sementara dengan kemudahan asas lengkap termasuk makan minum disediakan untuk tempoh dua bulan atau sehingga gelandangan ini mendapat pekerjaan dan penginapan tetap,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut menyediakan program penjodohan pekerjaan (job matching) di Anjung Kembara dengan kerjasama pihak Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Dalam usaha berterusan membantu golongan gelandangan untuk berdikari dengan lebih baik, Program Pemantapan Kendiri Gelandangan Di Kem Akal, Gemencheh telah diadakan pada 18 Mei sehingga 16 Jun lalu.
“Melalui program ini, seramai 48 orang gelandangan telah diberi latihan, pembangunan kemahiran serta motivasi diri agar golongan ini dapat terus berdikari,” katanya. – KOSMO! ONLINE

1 week ago
13

















![[VIDEO] Pempengaruh dikecam buat live lucah, isteri turut gelak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-06-at-3.28.35-PM.jpeg)































