36 keluarga mohon lanjutkan tempoh kosongkan setinggan di Kebun Teh

2 weeks ago 16

JOHOR BAHRU – Sebanyak 36 buah keluarga yang menghuni di tanah rizab kubur Cina dan malaria di Kampung Cina Kebun Teh, di sini merayu agar pihak kerajaan negeri melanjutkan tempoh pengosongan rumah setinggan yang dihuni sejak tahun 1946.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Cina Kebun Teh, Ling Meng Seng berkata, mereka memohon agar kerajaan negeri memberi ruang kepada keluarga terlibat sekurang-kurangnya tempoh masa 30 hari.

“Pada 15 Oktober lalu, sebanyak 11 rumah telah dirobohkan oleh pihak berkuasa ianya melibatkan rumah sewa yang disambung tanpa kelulusan.

“Baki 36 buah rumah lagi kami diberikan masa dalam tempoh 14 hari, mana sempat kami nak cari rumah sewa baharu, nak pindah lagi.

“Jadi kami berharap pihak kerajaan mempertimbangkan rayuan penduduk di sini yang telah lama menetap di sini, lebih 60 tahun lagi,”katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, Meng Seng mewakili penduduk menyerahkan notis rayuan kepada wakil Menteri Besar Johor, Ling Tian Soon.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah.

Sementara itu, Mohd Hairi berkata, kerajaan negeri bersetuju melanjutkan tempoh pengosongan selama sebulan bermula hari ini.

“Kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri baru-baru ini. Susulan itu kami mengadakan perbincangan dengan persatuan penduduk, wakil Ahli Parlimen, pemimpin setempat.

“Jadi kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh pengosongan selama 30 hari lagi bermula hari ini.

“Kita tidak zalim. Kita beri ruang dan peluang supaya mereka boleh mencari penyelesaian serta membuat permohonan sewajarnya untuk mendapatkan rumah keluarga atau sewa tempat lain terlebih dahulu,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Usahawan dan Koperasi negeri berkata, tindakan itu sebahagian daripada usaha kerajaan negeri menambah baik kualiti hidup penduduk setempat dan menghapuskan penempatan setinggan di tengah bandar Johor Bahru.

Menurutnya, kawasan berkenaan telah lama diduduki, malah ada antara penduduk yang telah menetap lebih 40 tahun, namun kerajaan negeri kini sedang melaksanakan pelan penstrukturan semula bagi menjadikan kawasan bandar sebagai zon pembangunan sifar setinggan.

“Kerajaan negeri melalui ‘task force’ khas sedang menyusun pelbagai inisiatif bagi menempatkan semula penduduk setinggan ke kawasan perumahan mampu milik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 1,422 rumah setinggan di kawasan DUN Larkin dikenal pasti akan dirobohkan termasuklah kawasan setinggan Kampung Melayu Majidee, Jalan Padu Kiri dan Padu Kanan, Larkin serta Kebun Teh.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |