PELUMBA berbakat negara, Hakim Danish Ramli boleh mengharungi Kejuaraan Motosikal Dunia Moto3 tahun ini tanpa sebarang tekanan apabila ZK Racing kini berada di fasa akhir bagi memuktamadkan perjanjian penajaan utama bernilai jutaan ringgit.
Perjanjian tersebut dilihat sebagai suntikan semangat buat pelumba berbakat dari Terengganu itu sebelum bermula aksi pusingan pembukaan di Buriram, Thailand hujung bulan ini.
Pengurus pasukan, Zulfahmi Khairuddin mendedahkan, tempoh dua minggu terakhir menjadi detik paling mencabar buat pihaknya apabila perlu bergerak pantas mengadakan rundingan intensif dengan beberapa syarikat korporat bagi memastikan penajaan itu menjadi kenyataan.
Menurut bekas pelumba Moto3 negara itu, perubahan hala tuju pasukan memaksa ZK Racing keluar daripada zon selesa dan berdiri atas kekuatan sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada sokongan Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC) seperti sebelum ini.
“Walaupun tanpa penaja utama, Hakim Danish tetap akan berlumba, tetapi penajaan ini penting untuk perkembangan program jangka panjang kami.
“Dalam dua minggu terakhir, saya sendiri turun padang memuktamadkan tawaran. Langkah ini akan memberi keyakinan lebih besar kepada pelumba serta ibu bapa dalam ekosistem ZK Racing,” katanya pada majlis pelancaran gimnasium Anytime Fitness di Semenyih kelmarin.
Mengulas nilai penajaan, Zulfahmi mengakui kos bersaing di pentas Kejuaraan Dunia jauh lebih tinggi berbanding peringkat FIM JuniorGP sebelum ini, selari dengan liputan global yang lebih meluas.
“Nilai di peringkat Kejuaraan Dunia memang berbeza. Liputan media jauh lebih tinggi, jadi ‘tanda harga’ untuk slot penajaan utama lebih mahal dan mencecah jutaan ringgit.
“Atas dasar hubungan lama saya dengan pihak MT Helmets, masih ada ruang untuk rundingan harga bagi pakej penaja utama. Kami di peringkat akhir perbincangan dan berharap dapat buat pengumuman dalam masa terdekat.
“Penajaan ini juga akan menyumbang kepada program pembangunan pelumba sebab jika tiada program, maka tiadalah pelumba baharu yang dapat dilahirkan,” katanya.
Jika perjanjian itu dimeterai, pasukan dijangka membawa identiti penaja baharu seawal musim ini, sekali gus membuka lembaran baharu dalam struktur komersial ZK Racing.

21 hours ago
6















![[VIDEO] Pasangan AS perkenal nasi lemak, teh tarik kepada anak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/TULAR-VIRAL-NASI-LEMAK.jpeg)

































