SHAH ALAM – Bot tanpa nombor pendaftaran sah serta menggaji kru warga asing antara kesalahan utama dikesan menerusi Operasi MARDOF Siri 2 yang dilaksanakan di perairan Selangor dari 6 hingga 13 Februari lalu.
Operasi bersepadu itu turut menahan 14 kru warga asing terdiri daripada warga Indonesia dan Myanmar berusia antara 24 hingga 51 tahun.
Pengarah Jabatan Perikanan (DOF) Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, sebanyak 65 pemeriksaan dilakukan di laut dan darat dengan tujuh tangkapan bot direkodkan sepanjang operasi berkenaan.
“Hasil pemeriksaan turut mendapati penggunaan mata pukat keroncong kurang daripada 38 milimeter yang boleh menjejaskan sumber perikanan kerana benih ikan turut tertangkap.
“Dalam satu kes berasingan, tiga nelayan tempatan berusia 40 hingga 60 tahun ditahan kerana tidak mempunyai lesen penangkapan ikan yang sah,” katanya pada sidang akhbar sempena Operasi MARDOF Siri 2 di sini hari ini.
Beliau berkata, operasi bersepadu bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor itu dilaksanakan secara berkala sebagai platform strategik memastikan pematuhan undang-undang serta keselamatan perairan terus terpelihara.
“Dapatan operasi menunjukkan majoriti pengusaha vesel dan nelayan mematuhi syarat lesen serta peraturan ditetapkan. Jika dipatuhi sepenuhnya, mereka tidak perlu bimbang ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Maritim Selangor, Komander Maritim Mohd. Fairusnizam Abdul Razak berkata, tujuh aset digerakkan melibatkan dua kapal dan tiga bot Maritim Malaysia serta dua bot milik DOF Selangor.
“Hasil pemeriksaan, tujuh tangkapan direkodkan membabitkan satu vesel Kelas A, dua vesel Kelas B, satu vesel Kelas C dan tiga bot fiber.
“Kejayaan ini membuktikan keberkesanan kerjasama rentas agensi dalam membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUU Fishing),” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

19 hours ago
6



















![[VIDEO] ‘Dah baling, pandai pecut kereta’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-13-at-3.01.17-PM.jpeg)





























