RAWANG – Langkah berani seorang lelaki mengusahakan perniagaan dobi berskala besar sejak 2015 membuahkan hasil apabila dia kini menjadi antara usahawan yang dipercayai untuk mengendalikan perkhidmatan mencuci pakaian dan linen bagi industri perhotelan dan restoran.
Pengarah Urusan Restu Ibu Am Holdings Sdn. Bhd., Mohd. Azmi Ma’Aziz berkata, segalanya bermula apabila dia membuat keputusan berhenti kerja dalam bidang perhotelan selepas melihat industri dobi boleh berkembang dan memberikan pulangan berterusan jika diuruskan dengan bijak.
Katanya, ketika ini kilangnya di Taman Industri Bukit Rawang Jaya, di sini mampu mencuci 15 tan fabrik sehari seperti cadar, tuala, kain alas, sarung bantal, pakaian dan sebagainya menggunakan 16 mesin basuh bersaiz antara tujuh hingga 125 kilogram serta bahan pencuci berkualiti.
Selain hotel dan restoran, Mohd. Azmi juga mempunyai pelanggan dalam kalangan pengusaha pusat konvensyen, kelab golf, syarikat penerbangan dan kapal peranginan.
“Kilang seluas 1,207 meter persegi ini dikendalikan oleh 40 pekerja selama 24 jam sehari. Kami menawarkan perkhidmatan awal hingga akhir iaitu mengambil, membasuh, menggosok dan menghantar kembali kepada pelanggan.
“Bagaimanapun, saingan dalam bidang dobi sentiasa ada dan oleh sebab itu kami bercadang untuk memperluaskan lagi perkhidmatan dengan menggunakan mesin canggih berteknologi terkini dari Eropah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Pusat dobi ini beroperasi 24 jam sehari disokong 40 kakitangan yang menyediakan perkhidmatan hujung ke hujung buat pelanggan industri.Menurut Mohd. Azmi, 44, mesin dikenali sebagai tunnel wash system itu lebih menjimatkan masa, kos, air dan elektrik selain mampu meningkatkan kapasiti cucian sedia ada kepada dua kali ganda dalam tempoh singkat.
Tambahnya, mesin itu hanya dikendalikan menggunakan panel monitor yang lebih memudahkan, sekali gus mampu menjimatkan tenaga kerja dan pembayaran upah bagi meningkatkan margin keuntungan syarikat pada masa depan.
“Apa yang menjadi kekangan ketika ini adalah faktor modal. Besar harapan saya jika ada pihak yang sudi memberi bantuan untuk saya kembangkan lagi perniagaan selain dapat membuka peluang pekerjaan berkemahiran,” katanya.
Ujar Mohd. Azmi, anggaran kos untuk memasang satu set lengkap tunnel wash system itu ialah sekitar RM10 juta kerana ia perlu diletakkan dalam bangunan lain yang mempunyai keluasan sesuai dengan saiz mesin basuh tersebut.
“Dalam masa sama, kami tetap akan terus menggunakan mesin basuh sedia ada sebagai persediaan atau pengganti pada waktu kecemasan, misalnya apabila tunnel wash system itu perlu diselenggara dan sebagainya,” katanya.
Mohd. Azmi di hadapan kilangnya di Taman Industri Bukit Rawang Jaya, yang memiliki kapasiti untuk mencuci 15 tan fabrik sehari.Menurut Mohd. Azmi, dia mula mempelajari teknologi berkenaan ketika melawat beberapa lokasi yang mengusahakan perniagaan dobi sepertinya di luar negara bagi mengambil idea untuk memantapkan lagi operasi kilang.
“Perancangan masa depan kami ialah mahu terus berdaya saing dan misi syarikat ialah untuk menjadi salah satu peneraju bumiputera dalam industri ini di Malaysia dan Asia,” katanya.
Tambahnya, syarikat sentiasa mengutamakan kepuasan pelanggan yang menjadi kunci untuk kekal dalam bidang itu.
“Visi kami adalah untuk memenuhi permintaan industri perkhidmatan dobi komersial dan domestik yang kian meningkat dengan teknologi terkini.
“Kami mahu pengalaman pelanggan terhadap produk dan perkhidmatan kami adalah yang terbaik serta paling dipercayai dalam industri,” katanya.
Orang ramai atau pihak korporat yang ingin mendapatkan perkhidmatan Mohd. Azmi boleh menghubunginya melalui e-mel [email protected].

21 hours ago
6






![[VIDEO] Tiga diburu lempar mercun dalam rumah warga emas](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-16-at-6.32.32-PM.jpeg)




![[VIDEO] ‘Kami dah selesai cara baik’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-16-at-4.48.32-PM.jpeg)







![[VIDEO] Tesla hilang kawalan punya kemalangan tular di Temerloh](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-16-at-12.51.31-PM.jpeg)





























