‘Sejak bila minyak masak peket boleh jual pada warga asing’

21 hours ago 6

PETALING JAYA – Seorang pengguna Threads, Nurul Aishah mendakwa terkejut apabila mendapati warga asing dengan mudah membeli minyak masak peket bersubsidi secara terbuka di sebuah pasar raya di Bangi.

Dakwaan itu dikongsikan menerusi beberapa hantaran rakaman video yang memaparkan situasi di sebuah premis yang menurutnya berlaku baru-baru ini.

Kata Nurul Aishah, tindakan tersebut menimbulkan persoalan memandangkan minyak masak peket bersubsidi tertakluk kepada peraturan dan tidak dibenarkan dijual kepada warga asing.

“Sejak bila minyak peket boleh jual dekat warga asing? Lepas aku tegur dan rakam, barulah staf suruh letak balik minyak peket tu,” katanya dalam hantaran tersebut.

Beliau mendakwa, seorang lelaki warga emas yang turut berada di lokasi itu gagal mendapatkan bekalan minyak masak peket kerana stok didakwa telah habis lebih awal.

“Pak cik dalam video tu pun nak beli minyak, tapi dah habis sebab stok awal-awal dah kena sapu,” katanya.

Nurul Aishah mendakwa, selepas kejadian itu, terdapat beberapa individu warga asing menunggu di luar premis dipercayai untuk mencuba sekali lagi membeli minyak masak peket berkenaan.

“Masa tu aku seorang je yang bersuara. Ramai yang tunggu dekat luar, mungkin nak tunggu aku balik dan cuba lagi beli minyak peket,” katanya.

Dalam hantaran berasingan, dia turut mendakwa menyaksikan sendiri taktik tertentu yang digunakan bagi mendapatkan bekalan minyak bersubsidi itu.

Menurutnya, warga asing berkenaan didakwa mengambil minyak peket dan meletakkannya ke dalam troli individu lain sebelum menyerahkan wang untuk dibayar di kaunter.

“Warga asing ambil minyak peket, letak dalam troli orang lain. Lepas tu hulur duit, orang tu bayarkan di kaunter. Ingat orang tak nampak, tapi semua dirakam,” katanya.

Beliau menegaskan isu tersebut bukan melibatkan sentimen perkauman, sebaliknya berkaitan salah guna subsidi dan hak rakyat yang benar-benar layak menerima manfaat berkenaan.

“Ini bukan soal bangsa. Ini soal taktik salah guna subsidi dan hak rakyat yang betul-betul layak. Minyak peket tu untuk rakyat yang layak. Jangan salah guna,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |