RMS ‘tulang belakang’ kemajuan bola sepak Selangor

17 hours ago 21

SELANGOR FC menganggap kepimpinan Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berjaya menaikkan semula prestij pasukan sejak menjadi tulang belakang bola sepak ‘No. 1’ negeri itu sejak 2018.

Pandangan itu disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif skuad Gergasi Merah, Dr. Johan Kamal Hamidon selepas menyaksikan sendiri sumbangan yang diberikan oleh RMS untuk memajukan bola sepak di negeri Selangor sejak sembilan tahun lalu.

Menurut Johan, banyak perubahan yang telah dilakukan oleh RMS terutama dalam menaikkan semula bola sepak Selangor sehingga dikaitkan antara calon menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu,

“Di Selangor, kita dapat lihat banyak transformasi yang telah dilakukan oleh Tuanku bukan sahaja di peringkat kelab, tetapi di peringkat persatuan, tahap profesional (Selangor FC), kemajuan bola sepak wanita dan peringkat akar umbi secara menyeluruh.

“Bagi saya, kita sangat berbangga dengan progres dan kepimpinan yang diberikan oleh Tuanku. Sokongan yang diberikan juga sangat baik dari penyokong, pihak swasta, badan korporat, kerajaan dan juga badan bukan kerajaan NGO,” katanya. katanya ketika ditemui pada Hari Legasi semalam.

Tengku Amir Shah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bagaimanapun telah mengeluarkan kenyataan secara terbuka tidak berminat untuk bertanding merebut kerusi panas di FAM.

Sebaliknya, RMS lebih selesa untuk memberi fokus tanggungjawab di FAS di mana perhatian utamanya untuk menambah baik pelbagai aspek dan tidak hanya tertumpu kepada pembangunan pemain semata-mata.

Pada minggu lalu, Kosmo! melaporkan cadangan Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan The Real Warriors (KTRW), Datuk Mohd. Irwan Rizal yang melihat tiga tokoh bangsawan seperti Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atau RMS dilantik menjadi Presiden FAM yang baharu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |