PONTIAN – Dugaan seolah-olah tidak pernah berhenti menimpa seorang peniaga burger apabila empat hari sebelum pembedahan pintasan jantung, kereta yang menjadi satu-satunya nadi rezekinya hangus dijilat api.
Lebih meruntun jiwa, selepas selamat menjalani pembedahan di Hospital Sultan Ismail pada 5 Disember lalu, Khairul Amir Abd. Karim, 49, kini terpaksa berehat panjang, sekali gus menutup periuk nasi keluarganya.
Kekangan kewangan menyebabkan enam beranak itu menyambut Ramadan secara sederhana, malah kadangkala terpaksa berbuka dengan mi segera.
Menurut Khairul Amir, pada malam 30 November tahun lalu, kereta Nissan Cefiro yang dibeli pada harga RM5,000 untuk digunakan berniaga tiba-tiba terbakar ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
Bapa empat anak itu berkata, sebelum ini dia mampu menjual hingga lima beg roti sehari dengan anggaran pendapatan kira-kira RM700, cukup untuk menampung perbelanjaan harian serta membayar sewa rumah sebanyak RM600 sebulan.
“Sekarang tugas mencari rezeki digalas isteri saya, Rosyatimah Rosmin, 46, dengan dibantu dua anak lelaki kami berusia 18 dan 19 tahun yang berniaga burger di Taman Pontian Jaya, kira-kira lima kilometer dari rumah,” katanya.
Menurutnya, dua lagi anak mereka yang berusia 13 dan 15 tahun masih bersekolah serta memerlukan perbelanjaan harian.
Katanya, bantuan RM600 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat hanya digunakan bagi menampung kos persekolahan anak-anak, sedangkan perbelanjaan lain makin mendesak.
“Doktor nasihatkan saya tidak buat kerja berat sekurang-kurangnya setahun dan perlu jalani rawatan susulan,” ujarnya.
Katanya, mereka mengakui terpaksa menyambut Ramadan secara sederhana akibat kekangan kewangan.
“Anak-anak faham keadaan ayah mereka. Kadangkala berbuka dengan mi segera atau nasi berlauk telur goreng sahaja, asal dapat mengalas perut,” katanya.
Rosyatimah pula berkata, walaupun kakinya membengkak akibat jangkitan kuman, dia tetap gagahkan diri mencari rezeki.
“Saya tak boleh berdiri lama jika sakit menyerang, tetapi kami tiada pilihan. Kami teruskan juga berniaga kerana itu sahaja sumber rezeki,” katanya.
Katanya, ketika ini mereka terpaksa meminjam kereta bapa saudara untuk membawa bahan mentah seperti roti, telur dan sayur-sayuran ke tapak niaga.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Hong Leong Bank (39101050118) atas nama Khairul Amir Abdul Karim atau menghubunginya talian 019-8852990.

22 hours ago
5
![[VIDEO] Asyraf Wajdi ‘tebuk’ penuntut Mara di New Zealand dapat AS$100](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/Tangkap-layar-Asyraf-Wajdi-‘tebuk-bekas-pelajar-MRSM-Ulul-Albab-di-New-Zealand.jpeg)









![[VIDEO] Selepas bernikah, saya tidak abaikannya di Lombok – Bekas suami Norida](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-21-at-14.33.11.jpeg)







![[VIDEO] Beli roti john daging di bazar Ramadan, dagingnya mana?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-21-at-11.25.17.jpeg)





























