Pokok tumbang: Dua pensyarah cedera tetap fikir pelajar, tugas

14 hours ago 6

SHAH ALAM – Dua pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang cedera akibat insiden pokok tumbang membuktikan komitmen tinggi apabila masih memikirkan tanggungjawab akademik termasuk sistem pemarkahan semester walaupun sedang dirawat di Hospital Shah Alam (HSA).

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, beliau sendiri tersentuh melihat dedikasi kedua-dua pensyarah tersebut yang tetap mengutamakan amanah sebagai pendidik.

“Kedua-duanya sihat, Alhamdulillah. Proses rawatan dan pemulihan berjalan lancar dan tiada kecederaan melampau. Mereka ceria dan boleh berbual seperti biasa.

“Saya terharu kerana dalam keadaan menahan kesakitan, mereka masih risau tentang kerja hakiki termasuk sistem pemarkahan yang belum diselesaikan selepas semester baharu tamat. Itu menunjukkan tahap komitmen dan integriti yang tinggi,” katanya ketika ditemui di pekarangan HSA di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Pengarah HSA, Dr. Ruzita Othman dan Timbalan Setiausaha (Pengurusan) Majlis Bandaraya Shah Alam, Shahrin Ahmad dan Pengarah Jabatan Landskap MBSA, Majidah Md. mengiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang berkenan melawat Dr. Nur Shahidah Ab. Aziz, 39, dan Dr. Shareena Fairuz Abdul Manaf, 42.

Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Pro Canselor UiTM meluangkan masa selama setengah jam termasuk berkenan menyampaikan buah tangan kepada kedua-dua pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan Kimia (FKK) UiTM Shah Alam.

Shahrin menjelaskan, keadaan pemulihan kedua-dua pensyarah itu menunjukkan perkembangan memberangsangkan dari hari ke hari meskipun menerima jahitan luar dan terpaksa menggunakan pendakap leher.

“Saya dimaklumkan pihak hospital, jika keadaan terus stabil, mereka mungkin dibenarkan keluar wad dalam beberapa hari lagi. Esok juga akan memulakan fisioterapi ringan,” ujarnya.

Katanya, tempoh pemulihan dijangka mengambil masa kira-kira tiga bulan kerana melibatkan kecederaan saraf, namun ia bergantung kepada tahap kesembuhan masing-masing.

Dalam pada itu, Shahrin memaklumkan Tengku Permaisuri Selangor turut berkenan menzahirkan keprihatinan dan berpesan agar kedua-dua pensyarah berkenaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada rehat dan pemulihan.

Mengulas mengenai kejadian itu, beliau berkata, pada hari insiden itu, kedua-dua pensyarah terbabit baharu selesai menghadiri mesyuarat khas fakulti bersama Timbalan Naib Canselor Akademik sebelum keluar makan tengah hari.

“Mereka langsung tidak menyangka insiden itu tersebut dengan menyatakan susulan tiada angin dan hujan namun pokok tumbang secara tiba-tiba,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |