MELAKA – Pemandu Perodua Myvi yang merempuh lima kenderaan di persimpangan lampu isyarat Padang Jambu pada Selasa lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Tertuduh, Ng Chun Twan, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kereta berkenaan secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan dan kematian Mohd. Shahrol Anuar Md. Roby, 44.
Perbuatan itu dilakukan di Lebuh Ayer Keroh, persimpangan lampu isyarat Padang Jambu dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 1.30 tengah hari pada 10 Februari 2026.
Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 1999) yang jika sabit kesalahan boleh berdepan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta denda minimum RM20,000 dan maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.
Sabitan juga boleh menyebabkan hilang kelayakan memegang lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan berserta syarat tambahan iaitu lesen memandu tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar jaminan dikurangkan dengan alasan dia hanya bekerja dalam bidang logistik dan berpendapatan rendah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan lesen memandu tertuduh ditahan serta melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Sebutan semula ditetapkan pada tarikh 2 April depan.
Terdahulu, Kosmo! pada Selasa lalu melaporkan seorang bapa empat anak maut, manakala tiga lagi cedera selepas pemandu sebuah Perodua Myvi yang dipercayai mengalami ‘microsleep’ merempuh lima kenderaan di lampu isyarat persimpangan Padang Jambu, di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, Mohd. Shahrol Anuar Md. Roby, 44, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala, muka, badan dan tangan.
Tiga lagi mangsa iaitu dua penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Suzuki Raider R150 berusia 25 tahun dan pemandu kereta Proton Saga 48 tahun masing-masing mengalami kecederaan di kaki kanan serta dahi dan bahu kanan, manakala pemandu kereta BMW yang turut terlibat tidak cedera.
Ketika kejadian Mohd. Shahrol dikatakan dalam perjalanan menjemput anak bongsunya yang juga orang kurang upaya (OKU) berusia 10 tahun pulang dari sekolah.- KOSMO! ONLINE

17 hours ago
7



















![[VIDEO] ‘Dah baling, pandai pecut kereta’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-13-at-3.01.17-PM.jpeg)





























