Noh umum letak jawatan Ahli MPT Bersatu

16 hours ago 5

SHAH ALAM – Tan Sri Noh Omar mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini susulan tindakan pemecatan ahli-ahli parti itu.

Beliau berkata, pengunduran itu buat dibuat kerana kecewa dengan Lembaga Disiplin parti yang tidak menghormati keputusan mesyuarat MPT pada 12 Januari lalu.

Tegas beliau, mesyuarat itu sebelum ini telah memutuskan bahawa semua tindakan disiplin perlu ditangguhkan terlebih dulu.

“Jadi, persoalannya mengapa lembaga disiplin terus mengambil tindakan ke atas ahli-ahli bersatu? Apa guna mesyuarat tapi keputusan tidak dihormati. MPT juga tubuh Jawatankuasa Pengukuhan parti yang dipengerusikan Tan Sri Rais Yatim. Kita rancang mengembalikan perpaduan namun kini tiba-tiba ambil tindakan kepada ahli terlibat,” katanya hari ini.

Semalam, seramai 13 pemimpin Bersatu disahkan dipecat sekali gus mencetuskan gelombang baharu pergolakan dalaman parti itu.

Antara nama terbesar yang tersenarai ialah Timbalan Presidennya merangkap Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin selain Ahli MPT dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Turut dipecat, Ahli MPT Bersatu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, serta Ketua Bahagian Padang Rengas merangkap Ahli Parlimen kawasan itu, Kapten Azhari Hasan.

Mengulas lanjut, tambah Noh, tindakan perlu diambil kepada ahli yang melanggar keputusan mesyuarat MPT dan bukannya kepada yang mengeluarkan kenyataan sebelum itu.

“Prinsip saya satu iaitu ‘nobody above the law’ (mendahului undang-undang) dan semua orang tertakluk kepada peraturan dan perlembagaan.

“Sepatutnya mesyuarat khas perlu diadakan dahulu bagi menolak keputusan mesyuarat itu. Maka, hari ini saya umum letak jawatan sebagai Ahli MPT dan terima kasih kerana memberi peluang dengan melantik saya selama ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |