KUALA LUMPUR – Polis mengesan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes khianat menyebabkan 12 buah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) pecah di Jinjang Utara dan Selatan, di sini.
Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), suspek yang bertopi keledar masuk ke dalam kaunter dan memecahkan skrin mesin ATM menggunakan objek disyaki batu sebelum melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang juruteknik berusia 38 tahun kira-kira pukul 8.40 pagi kelmarin.
Menurut Basri, semasa menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan, lelaki itu mendapati empat skrin mesin ATM retak disyaki akibat perbuatan khianat.
“Polis turut menerima empat lagi laporan berkaitan khianat melibatkan mesin ATM pada pukul 12.24 tengah hari hingga 10.16 malam semalam. Dua kes di cawangan Maybank Jinjang Selatan, manakala satu kes masing-masing Cawangan RHB Jinjang Utara dan Public Bank Jinjang Utara,” katanya hari ini.
Jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan RM64,000. Sehubungan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul melancarkan operasi khas untuk mengesan seterusnya menangkap suspek yang terlibat.
“Suspek mempunyai ketinggian 1.65 meter, berbadan sederhana dan berkulit cerah. Ketika kejadian lelaki itu memakai baju kemeja lengan pendek berwarna kelabu, berseluar panjang dan memakai selipar berwarna hitam,” ujarnya.
Beliau berkata, suspek juga memakai topi keledar dan menaiki motosikal jenis Honda Wave berwarna biru, namun nombor pendaftarannya belum dapat dikenal pasti.
Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kerugian atau kerosakan harta benda.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

18 hours ago
5
![[VIDEO] ‘Sedar tak sedar, briskwalk 5km dalam bazar Ramadan’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-18-at-21.24.15.jpeg)












![[VIDEO] ‘Orang tak puasa, seminggu sebelum Ramadan dia gelisah’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-18-at-1.43.06-PM.jpeg)

![[VIDEO] Tarian singa pun ‘behave’ bila dengar lagu Ramadan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-18-at-11.43.52-AM.jpeg)

































