Dulu sendiri, sekarang tiga perut saya kena jaga – Syasya Rizal

22 hours ago 4

KEHIDUPAN Syasya Rizal kini memasuki satu fasa transisi yang cukup indah.

Selepas selamat melahirkan cahaya mata kedua beberapa bulan lalu, tanggungjawab yang digalas pemilik nama lengkap Norsyasya Afiqah Shahrizal kini semakin berat namun sarat dengan kemanisan. 

Menjadi nakhoda bersama suami tercinta, Nasrullah Mohd. Sapie dalam mengemudi bahtera rumah tangga bukan sekadar satu tugas, malah satu perjalanan mendewasakan.

Menyapa kehadiran Ramadan kali ini, Syasya mengakui rentak kehidupannya berubah. Jika dahulu masanya banyak dihabiskan untuk memanjakan diri, kini fokus utamanya adalah untuk menyantuni selera tiga ‘perut’ tersayang di rumah.

“Dahulu puasa saya fikir perut sendiri saja, pergi bazar semua beli untuk diri sendiri. Sekarang dah tak boleh 100 peratus bazar, kena masak.

“Sekarang ada tiga perut yang nak kena jaga. Sememangnya berbeza sebab sebelum melahirkan anak kedua, saya cuti daripada memasak selama sembilan bulan. 

“Suami memang bagi cuti sebab alahan teruk sangat. Jadi, puasa kali ini saya nak teruskan momentum untuk mula memasak,” katanya membuka bicara.

Bagi penyanyi berusia 25 tahun itu, Ramadan kali ini bukan sekadar tentang menahan lapar, tetapi sebuah madrasah untuk mempelajari erti kesabaran tambahan dengan dua cahaya mata.

“Kalau dahulu sebelum kahwin sebagai anak dara, saya cuma fikir nak pakai baju raya dan pergi beraya sebab saya tak tinggal bersama mak ayah. Saya hanya fikir nak jumpa adik-beradik.

“Tapi sekarang, saya rasa Ramadan adalah masa untuk saya refleks balik diri dan belajar erti bersabar. Tahun lalu saya belajar nak mengendalikan seorang kanak-kanak tapi kali ini kena belajar kendalikan dua bayi.

MEMASUKI fasa wanita dewasa, Syasya terkenangkan suasana Ramadan dulu-dulu, tinggal bersama nenek, membantu dan menguruskan tempahan biskut raya sejak berusia tujuh tahun.

“Jadi, Ramadan kali ini adalah masa yang paling sesuai untuk saya ‘reset’ balik ‘mindset’ saya untuk belajar jadi lebih bersabar, bijak bahagikan masa dan jadi Muslim, ibu dan isteri yang lebih baik,” ujarnya. 

Sebagai ibu yang mengutamakan penyusuan susu ibu sepenuhnya, Syasya sudah menyusun strategi rapi agar ibadah puasa tidak terjejas.

“Saya masih lagi ‘fully breastfeeding’. Masa anak pertama dahulu pun saya berpuasa sambil menyusu juga. 

“Tapi tahun ini, saya rancang untuk berusaha sehabis baik puasa penuh kalau ada rezeki. Mungkin saya akan pam susu awal dan buat stok. 

“Kalau menyusu secara terus, saya akan cepat haus sikit. Jadi, untuk elakkan saya rasa begitu, waktu malam saya akan pam. 

“Sebenarnya, menjaga pemakanan sangat penting untuk nutrisi. Amalkan kurma dan susu waktu sahur supaya dapat kekalkan tenaga dan bantu penghasilan susu,” ujarnya.

Membesar di flat

Bicara bekas ahli kumpulan Dolla itu kemudian beralih ke sudut memori paling indah iaitu kenangan membesar di bawah jagaan nenek tercinta, Bashariah Kasan di sebuah flat di ibu kota.

“Setiap kali Ramadan benda saya tak boleh lupa sekali adalah membesar dengan nenek. Kami dahulu beraya pun sederhana saja sebab bila nak beli baju raya kena tunggu nenek dapat duit daripada upah buat kuih. 

“Jadi, setiap Ramadan sebelum saya jadi Syasya Rizal macam sekarang, saya akan tolong nenek buat tart nenas dan almond London.

“Kebanyakannya jual kepada kawan-kawan mak cik saya di tempat kerja. Jadi, itu cara saya membesar dengan kuih nenek saya,” kongsinya. 

Satu insiden yang tidak mungkin dilupakan adalah apabila dia dimarahi neneknya gara-gara terlalu rajin mempromosikan kuih raya.

“Saya pernah kena marah, ada suatu ketika saya kasihankan nenek sebab tak banyak tempahan kuih raya.

“Jadi, saya ambil kertas warna dan tulis ‘Siapa nak order kuih sila hubungi nombor nenek’. Saya tampal setiap tingkat flat. 

“Dia balik dan marah saya sebab ramai yang hubungi dia. Rupa-rupanya dia dah banyak tempahan,” katanya sambil tertawa. 

Meskipun ‘masak’ dengan aroma kuih buatan sendiri, pelantun lagu Raya Pum Pang itu mengakui rasa air tangan neneknya sukar ditandingi walaupun dia mengikut resipi turun-temurun yang sama.

“Saya pun tak pakar sangat buat kuih sebab nenek cerewet juga. Jadi, apa yang dia suruh buat benda senang macam sapu telur atas tart, yang susah semua dia yang nak buat sebab nak bagi orang makan.

“Ada yang saya belajar resipi kuih nenek sebab dia ada buku yang dia belajar daripada mak dia. Kira macam turun-temurun juga.

“Saya cuba buat tapi tak jadi dan sesedap dia buat. Air tangan dia memang berbezalah,” jelasnya lagi.

Lagu raya 

Memasuki topik karier, sekian lama tidak melancarkan lagu, Syasya akhirnya mengubati kerinduan peminat dengan sebuah naskhah istimewa Syawal tahun ini. 

“Rasa lama sangat saya berehat sebab sepatutnya saya nak keluar lagu tahun lalu tapi sebab mengandung, banyak benda yang tergendala. Saya dan pasukan saya berbincang elok-elok dan insya-Allah, akan keluarkan sebuah lagu raya.

HAMPIR setahun berehat daripada urusan dapur, selesai berpantang, Syasya kembali berperang menyediakan juadah buat keluarga kecilnya.

“Kalau ada rezeki, orang suka. Sibuk juga Ramadan ini sebab itu saya cakap, saya nak belajar bagaimana untuk mengendalikan masa dengan baik,” jelasnya. 

Menutup bicara, Syasya memilih untuk bersikap realistik dan tidak mahu terlalu berjanji tentang projek masa hadapan demi menjaga hati peminat.

“Akan ada lagu lain selepas raya tetapi tak berani nak janji sebab tahun lalu dah berjanji macam-macam, tiba-tiba Allah takdirkan benda lain pula.

“Jadi, saya tak berani nak sahkan cuma perancangan itu ada. Saya pun masih berbincang dengan pasukan saya,” tutupnya. 

Read Entire Article
Pertanian | | | |