Buat ‘podcast’ seram, keluarga Safwan Nazri diganggu makhlus halus

16 hours ago 8

SHAH ALAM – Selepas mengendalikan audio siar berunsur seram Sembang Seram, pengacara dan pelakon Safwan Nazri mengakui kerap berdepan gangguan misteri, terutama selepas sesi rakaman melibatkan kisah benar menakutkan.

Ujar Safwan atau nama sebenarnya Muhammad Safwan Mohammad Nazri, 31, pengalaman tersebut bukan hanya kebetulan, sebaliknya berlaku berulang kali sehingga menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan keluarganya.

“Kalau buat audio siar dengan tetamu yang membawa kisah sangat menyeramkan, memang akan ada kesan.

“Kalau ‘vibe’ tidak terlalu seram, biasanya tiada apa-apa. Tetapi jika balik rumah tanpa singgah masjid terlebih dahulu, memang akan ada gangguan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah bekas peserta Hero Remaja itu, antara gangguan paling menakutkan melibatkan anaknya sendiri, termasuk menangis tanpa sebab dan mendakwa melihat sesuatu yang mengerikan.

“Gangguannya memang di luar logik. Contohnya telefon tiba-tiba berbunyi sendiri, atau paling menakutkan anak menangis tanpa henti.

“Dia menangis berulang kali dan cakap nampak ‘monster’, padahal tiada apa-apa pun. Bayangkan empat hingga lima hari menangis tanpa henti, terutama waktu Maghrib hingga malam. Memang seram,” kongsinya pada sidang media Gempak Most Wanted Awards, di sini, malam tadi.

Bimbang keadaan semakin melarat, bapa dua anak itu mendapatkan pandangan seorang ustaz bagi mengetahui punca sebenar.

“Ustaz beritahu memang ada ‘sesuatu’ yang mengikut atau menumpang. Katanya kes seperti ini memang berlaku pada pengendali podcast seram.

“Kami ada langkah perlindungan sendiri seperti pendinding dan doa. Kalau rasa tidak sedap selepas rakaman, kami akan berehat dan singgah masjid terlebih dahulu.

“Setakat ini saya tidak pernah nampak secara berdepan. Saya juga tidak pernah mencabar atau meminta izin untuk berjumpa makhluk sebegitu. Saya tahu had diri dan memang penakut,” jelasnya.

Meskipun berdepan pelbagai pengalaman menyeramkan, pelakon Jendela Hati itu bagaimanapun tetap memilih untuk meneruskan program audio siar tersebut atas faktor sokongan peminat dan punca rezeki.

“Jumlah tontonan tinggi dan peminat sentiasa menyokong. Selain itu, ini juga punca rezeki.

“Ramai berkongsi rezeki di bawah ‘pokok’ yang sama. Kalau saya berhenti, bagaimana dengan rakan-rakan lain? Sebab itu saya teruskan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Safwan turut mencipta kejayaan apabila merangkul trofi Program Digital Tergempak pada acara Gempak Most Wanted Awards malam tadi. — KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |