Bekas juara dunia ada impian besar

22 hours ago 3

KEJAYAAN dinobatkan sebagai penerima Anugerah Olahragawati MASUM 2023 membakar semangat pemain boling padang wanita negara, Aleena Ahmad Nawawi untuk mencapai sasaran peribadinya bagi tahun 2026.

Aleena, 27, langsung tidak menjangka menerima anugerah berkenaan kerana dia merasakan gandingannya, Nur Ain Nabilah Tarmizi yang akan memenanginya hasil kejayaan mereka menjuarai Kejohanan Boling Padang Wanita Dunia 2023.

Ketika itu, Aleena dan Ain Nabilah mencipta sejarah apabila menamatkan kemarau 15 tahun tanpa pingat emas buat Malaysia selepas menjuarai final pairs wanita pada kejohanan di Gold Coast, Australia.

Kini, semangat Aleena kembali membara untuk merebut tempat dalam skuad kebangsaan beraksi di Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland dari 23 Julai hingga 2 Ogos depan.

“Memang tak jangka, tak tahu pun boleh menang. Ingatkan Ain Nabila yang dapat sebab dia menang banyak anugerah daripada saya. Tapi saya dapat beza antara kami adalah saya dapat pingat gangsa Kejohanan Remaja Dunia.

“Anugerah ini bagi semangat sebab macam dah lama tak dapat (anugerah). Selepas 2023 prestasi saya macam menurun, jadi pencapaian tak berapa banyak. Jadi bila dapat (Olahragawati MASUM), saya nak cuba dapatkan lagi.

“Perancangan 2026 saya nak cuba dapat tempat ke Sukan Komanwel Glasgow dan Sukan SEA 2027. Saya kena beri persembahan terbaik dalam pemilihan sekarang kerana jurulatih nilai prestasi semasa,” katanya.

Aleena yang berasal dari Ipoh, bertekad berikan prestasi terbaik pada Kejohanan 7 Nations Invitation 2026 di Stadium Juara, Bukit Kiara dari 15 hingga 18 Februari ini.

“Kejohanan terakhir saya adalah Terbuka Australia tahun lepas. Tahun ini ada Kejohanan Asia (di New Delhi, India) pada April nanti. Tapi sebelum itu minggu depan ada 7 Nations.

“Negara-negara Komanwel akan datang bersaing di Stadium Juara. Saya harap dapat berikan persembahan sehabis baik dalam pemilihan ini,” jelas Aleena.

Read Entire Article
Pertanian | | | |