85 peratus kes Tibi babit rakyat tempatan

15 hours ago 6

PETALING JAYA – Menteri Kesihatan memaklumkan 85 peratus daripada kes penyakit Tuberculosis atau Tibi yang dilaporkan adalah melibatkan rakyat tempatan.

Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, hanya 15 peratus kes adalah melibatkan warga asing sekalis gus menunjukkan risiko penularan dalam komuniti adalah nyata dan tidak boleh dipandang enteng.

“Tibi bukanlah suatu fenomena baharu dalam landskap kesihatan awam kita. Malah, ia telah wujud sejak sekian lama dan kekal sebagai penyakit endemik yang memerlukan perhatian serius semua pihak.

“Mutakhir ini, timbul pelbagai persepsi yang mengaitkan penularan Tibi dengan kemasukan warga asing, Namun, fakta menunjukkan sebaliknya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook di sini hari ini.

Dr. Dzulkefly berkata, Tibi bukanlah sekadar isu klinikal, ia boleh disebabkan oleh faktor sosio-ekonomi seperti kesesakan penempatan dan kekurangan zat makanan.

“Kuman Mycobacterium Tuberculosis ini sangat degil, namun berita baiknya, ia boleh dicegah, boleh dirawat, dan boleh sembuh sepenuhnya jika dikesan awal serta pesakit patuh kepada rejimen rawatan antibiotik selama sekurang-kurangnya enama bulan.

“Saya menyeru masyarakat agar cakna gejala dengan segera ke klinik jika batuk melebihi dua minggu, demam atau berpeluh waktu malam, dan susut berat badan.

“Hentikan stigma, jangan memulaukan pesakit. Sokongan emosi daripada keluarga dan komuniti adalah kunci utama untuk mereka melengkapkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai turut digalakkan mengambil langkah pencegahan dengan memastikan anak-anak menerima imunisasi BCG dan amalkan gaya hidup sihat serta pengudaraan rumah yang baik.

“Kementerian Kesihatan komited memperkasakan strategi ‘pengesanan aktif’ dan bekerjasama dengan pelbagai agensi melalui pendekatan whole-of-government bagi menamatkan endemik Tibi di Malaysia.

“Sama-sama kita lindungi keluarga dan komuniti kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |