18 tahun di Lombok, Norida selamat pulang ke Malaysia

21 hours ago 6

PETALING JAYA – Seorang wanita warga Malaysia yang terpisah daripada keluarganya selama 18 tahun selamat dibawa pulang ke tanah air bersama anak perempuannya.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang memberitahu, wanita tersebut dan dua anaknya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.

Ahli Parlimen Lenggong itu berkata, Norida Akmal Ayob sebelum ini menetap di Lombok, Indonesia kerana mengikuti suaminya yang rakyat negara tersebut.

Katanya, perkahwinan wanita itu tidak berpanjangan apabila suaminya berkahwin lain menyebabkan dia hidup dalam keadaan susah dan daif.

Wanita itu mencari rezeki sebagai tukang sapu untuk meneruskan hidup bersama anak-anak di negara berkenaan.

Shamsul Anuar menemui Norida dan ahli keluarganya di KLIA 2 semalam.

“Kisahnya mahu kembali ke Malaysia diketahui apabila keluarganya di Kampung Bukit Sapi, Lenggong datang menemui saya dan memaklumkan keadaan Norida.

“Saya dimaklumkan dia berada dalam keadaan serba kekurangan, anak-anaknya tidak dapat meneruskan persekolahan dan terbiar,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.

Shamsul Anuar berkata, beliau kemudian memulakan urusan membawa wanita dan anaknya pulang ke Malaysia dengan kerjasama Wisma Putra melalui Kedutaaan Besar Malaysia di Jakarta, Indonesia dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Beliau turut menghantar pegawainya diketuai Datuk Dazma Shah Daud bersama Setiausaha Sulit ke Lombok bagi urusan membawa pulang wanita tersebut ke tanah air.

“Alhamdulillah, kini mereka selamat pulang ke tanah air,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |