KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas Zamri Vinoth didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membuat kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam dalam laman sosial Facebooknya bulan lalu.
Bagaimanapun Zamri Vinoth atau nama sebenarnya Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan.
“Tidak bersalah,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Zamri didakwa telah membuat kenyataan di akaun Facebook miliknya (Zamri Vinoth) yang mana kenyataan itu mungkin menimbulkan kegentaran awam yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Zamri mengeluarkan kenyataan itu pukul 12.22 tengahari pada 3 Februari lalu yang kemudian kenyataan tersebut telah dilihat dan didengar oleh seorang lelaki yang berusia 45 tahun di sebuah restoran di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai dua tahun atau denda atu kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan Zamri diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 April ini bagi sebutan semula kes.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd. Nordin Ismail, Izzat Amir Idham dan Nur Farhana Mohamad Puad manakala Zamri diwakili peguam Muhammad Hariz Md Yusof.
Semalam polis mengesahkan siasatan terhadap empat individu yang mengeluarkan kenyataan sehingga mencetuskan perdebatan berbaur provokasi berkaitan isu agama dan perkauman telah selesai dan mereka akan didakwa di mahkamah hari ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, kertas siasatan terhadap kes berkenaan telah dirujuk secara berasingan kepada Pejabat Peguam Negara serta Pengarah Pendakwaan Negeri selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, antara individu yang terlibat ialah Zamri Vinoth yang akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE

16 hours ago
10
















































