PUTRAJAYA – Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman menarik nafas lega apabila kekal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini atas tiga pertuduhan dadah.
Keputusan sebulat suara itu panel tiga hakim yang diketuai Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali selepas membenarkan rayuan akhir
Yasin selaku perayu untuk mengetepikan hukuman Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan.
Meskipun dilepas dan dibebaskan, Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 50, ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor sebagaimana yang diperintahkan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin.
Pada 29 November 2023, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepas dan membebaskan Yasin atas tiga pertuduhan itu.
Kemudian pada Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup serta 16 sebatan terhadap Yasin yang mana Hakim Datuk Norsharidah Awang menjatuhkan hukuman itu selepas Yasin didapati bersalah atas tiga pertuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan pertama, Yasin didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu (2022).
Bagi kesalahan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kedua, Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.
Pertuduhan ketiga Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.
Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE