Upah RM10,000, pakej pelancongan percuma bawa bunga ganja

13 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Taktik sindiket dadah menawarkan upah lumayan sehingga RM10,000, tiket penerbangan dan pakej pelancongan percuma kepada individu untuk menyeludup bunga ganja ke luar negara terbongkar selepas ditumpaskan menerusi Op Diogma.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya melancarkan beberapa serbuan di sekitar Selangor dan Pulau Pinang pada 2 dan 3 Februari lalu.

Menurutnya, dalam operasi itu, seramai tiga lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan masing-masing seorang lelaki dan wanita asing berusia 31 hingga 37 tahun ditahan.

“Dalam serbuan pertama di Bangunan Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang, seorang lelaki tempatan, seorang lelaki asing dan seorang wanita asing ditahan.

“Pemeriksaan menemui 60 bungkusan plastik berisi bunga ganja seberat 33 kilogram (kg). Siasatan awal mendapati suspek warga asing dipercayai dijadikan keldai dadah untuk menyeludup dadah ke luar negara,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Hussein berkata, serbuan kedua dilakukan di sebuah rumah di Cheras yang membawa kepada rampasan 254 bungkusan plastik bunga ganja seberat 133 kg, manakala serbuan ketiga di sebuah hotel sekitar Taman Equine, dengan dua lelaki tempatan ditahan.

“Pemeriksaan ke atas kereta Toyota Cross menemukan 40 bungkusan bunga ganja seberat 22 kilogram. Jumlah keseluruhan dadah dirampas sebanyak 188 kg bernilai RM15 juta.

“Siasatan mendapati suspek pertama berperanan sebagai ketua sindiket, manakala suspek kedua dan ketiga adalah keldai dadah. Suspek keempat dan kelima merupakan ‘transporter’ (penghantar), manakala suspek keenam adalah kekasih kepada suspek keempat dan ahli sindiket.

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak Januari lalu. Bunga ganja itu diseludup menggunakan laluan haram di Chuping, Padang Besar, Perlis sebelum dibawa ke Lembah Klang untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek keempat positif methamphetamine dan amphetamine, manakala suspek kelima positif methamphetamine, amphetamine, ketamin dan ganja (THC). Mereka direman tujuh hari sehingga 9 Februari ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |